BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Sebagai usaha ke arah memberigakan kepentingan sejarah bangsa dan negara, Pusat Sejarah Brunei (PSB) buat pertama kalinya mengadakan Pameran Nama Sultan-sultan Brunei dalam Kaligrafi Islam yang sedang berlangsung di Lapau Lama, PSB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.
Pameran berkenaan, pada masa yang sama, juga membantu mengangkat martabat seni kaligrafi dan tulisan Jawi sebagai tulisan Al-Quran, tulisan agama dan juga tulisan nasional.
Diadakan selama tiga bulan bermula 20 April lalu hingga 20 Julai, pameran dan aktiviti seni kaligrafi Islam itu juga adalah sebagai aktiviti sampingan sempena pengikhtirafan Bandar Seri Begawan sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia Tahun 2019.
Antara objektif utama pameran adalah untuk mempromosikan sejarah melalui seni kaligrafi Islam kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda dan belia, memberikan pendidikan mengenai sejarah sultan-sultan Brunei di zaman pemerintahan mereka.
Di samping itu juga, bagi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada orang ramai khususnya generasi muda dan belia mengenai sejarah negara bangsa, memperkenalkan kemasyhuran dan kepentingan sejarah negara kepada umum sama ada dalam dan luar negara serta mendidik generasi muda tentang sejarah melalui seni kaligrafi Islam yang ditulis dengan menggunakan pelbagai jenis seni khat Jawi.
Pameran dibuka dari jam 8 pagi hingga 4:15 petang bagi Isnin hingga Khamis dan Sabtu serta 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Ahad (sempena Bandarku Ceria) sementara itu, sepanjang Ramadan ini, ia akan dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.