KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Syarikat-syarikat Malaysia perlu mempertimbangkan secara serius untuk melabur di Madagascar, sebuah negara pulau yang terletak di Lautan Hindi memandangkan ia memiliki banyak potensi yang belum diterokai.
Menurut Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia Madagascar Prof Dr Abdul Kabur Ibrahim, antara sektor yang sesuai bagi pelaburan Malaysia adalah tenaga solar, pembinaan, infrastruktur, perkhidmatan dan pelancongan.
Negara yang terletak kira-kira 400km dari Pantai Afrika Timur itu berhasrat untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharunya kepada 85 peratus menjelang 2030. Pulau keempat terbesar di dunia itu juga merancang untuk membina sebuah bandar yang serupa seperti Putrajaya.
“Jadi, terdapat banyak perkhidmatan yang diperlukan mereka seperti bangunan infrastruktur, pembangunan hartanah serta pembinaan jalan raya, malahan mereka juga berminat dengan kereta api… Saya fikir Malaysia mempunyai semua kepakaran ini dan kita boleh menawarkan perkhidmatan tersebut”.
“Terdapat banyak pembangunan yang sedang berlaku di Madagascar dan mereka mahu memberikan keutamaan kepada Malaysia supaya datang dan menyertai mereka, tidak semestinya untuk melabur tetapi sebagai rakan kongsi dengan syarikat tempatan di sana,” katanya kepada Bernama. – Bernama