Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Hutan tropika meliputi kira-kira 72 peratus keluasan tanah keseluruhan Brunei di mana hutan dilindungi atau hutan simpan pula meliputi kira-kira 41 peratus kawasan tanah dengan hutan simpanan baharu dicadangkan akan meningkatkan hutan dilindungi kepada 55 peratus kawasan tanah.
Hutan tropika di Negara Brunei Darussalam dibahagikan kepada enam jenis hutan utama iaitu hutan bakau, hutan paya gambut, hutan paya air tawar, hutan kerangas, hutan dipterokarpa campuran dan hutan gunung.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab ketika menyampaikan pembentangan bertajuk Mengurus Biodiversiti Hutan bagi Nilai Ekonominya Perspektif Brunei Darussalam semasa topik tematik iaitu Biodiversiti dan Ekonomi pada Persidangan Brunei Darussalam bagi Hutan yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Persidangan dua hari bermula hari ini itu adalah sebagai kesinambungan acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE 2021) di mana persidangan itu dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan, KSSUP bersama Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS). Hadir untuk menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong. Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KSSUP, duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi ke Negara Brunei Darussalam serta wakil dari agensi-agensi dan pihak-pihak berkepentingan.


Dalam pembentangannya lagi, Hajah Tutiaty menerangkan bahawa Brunei mengamalkan pengurusan hutan lestari yang mematuhi Convention of Biological Diversity and United Nations Sustainable Development 2030 serta selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Beliau menerangkan bahawa walaupun sektor perhutanan bukannya penyumbang utama kepada pendapatan negara tetapi sumber hutan berpotensi bagi sumbangan ekonomi terutamanya sumber genetik yang pelbagai yang boleh dimajukan menerusi bioteknologi.
Selain daripada itu, jelasnya, nilai penggunaan tidak langsung hutan tropika negara khususnya sebagai sinki karbon dan perkhidmatan ekologi yang lain juga adalah sama pentingnya untuk menjadikan Brunei sebagai pemimpin dalam komuniti hijau global.
Persidangan itu meneroka peluang untuk perkembangan ekonomi hijau melalui pengkomersialan biodiversiti hutan seperti industri hiliran dan ekopelancongan, menyediakan peluang-peluang penyelidikan dan pembangunan dalam perhutanan, biodiversiti dan pemuliharaan hutan.
Persidangan itu dibahagikan kepada tiga topik tematik iaitu Biodiversiti dan Ekonomi, Ekonomi Hijau bagi Masa Depan Lestari dan Peluang-peluang Penyelidikan: Pempelbagaian Ekonomi dan Perlindungan.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi juga bersama-sama menyempurnakan perasmian Pameran Green Space di mana pameran itu disertai oleh BCCS, Jabatan Perhutanan dan beberapa buah syarikat hiliran.
Pameran yang mengetengahkan Nurture the Nature for Our Future itu bermatlamat untuk menggalakkan dan mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan yang terdapat dari sumber hutan. Brunei MYCE 2021 merupakan inisiatif KSSUP bagi menarik pasaran mesyuarat, insentif, persidangan dan acara.