BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Luar Negeri, Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thongsavan Phomvihane, yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini selama tiga hari, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Lawatan Tuan Yang Terutama tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos telah mempertingkatkan hubungan kerjasama di peringkat perkongsian strategik semasa keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Laos pada tahun 2023.
Kedua-dua buah negara telah mencapai perkembangan yang baik melalui kerjasama di bidang pendidikan dan pertukaran antara rakyat serta terus memperkukuhkan kerjasama di bidang perdagangan khususnya di sektor pertanian.
Menyertai Tuan Yang Terutama ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, TYT Heuankeo Sangsomsak.
Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.



