Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teroka penyediaan hidangan popular 2 masakan Korean

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Kedutaan Besar Republik Korea di Negara Brunei Darussalam kelmarin menganjurkan kelas memasak masakan Korea khas untuk La Vida Official, sebuah organisasi bukan kerajaan yang komited dalam pendidikan keperluan khas dan kerja-kerja kesukarelawanan yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Besar Republik Korea.

    Kelas berkenaan dikendalikan oleh Chef Park Geonuk dari Kedutaan Korea dan dihoskan oleh Duta Besar Republik Korea, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook,

    Enam pelajar dewasa berkeperluan khas dari La Vida bersama enam rakan pengiring menyertai sesi berkenaan, yang menyediakan pengalaman pembelajaran secara praktikal dalam suasana mesra dan interaktif, sekali gus menggalakkan kerjasama, kreativiti serta penghargaan terhadap budaya Korea.

    Para peserta berpeluang mempelajari penyediaan dua hidangan popular Korea iaitu Tuna Gimbab dan Gungjung Tteokbokki (kek beras goreng gaya diraja).

    Salah seorang peserta, Josephine, meluahkan rasa gembira dengan berkata bahawa beliau, “sangat menikmati kelas memasak dan makanan yang disediakan amatlah lazat.”

    Tuan Yang Terutama Sun turut merakamkan penghargaan kepada La Vida atas sumbangan bermakna organisasi itu kepada masyarakat Brunei, serta menzahirkan kegembiraannya menerima kehadiran mereka ke kediaman rasmi.

    Beliau menekankan bahawa pertukaran budaya seperti ini dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan persefahaman antara rakyat Korea dan Brunei.

    Kedutaan Republik Korea akan terus menyokong inisiatif inklusif dan berorientasikan komuniti, menggunakan budaya dan kulinari sebagai jambatan untuk merapatkan hubungan dalam semangat persahabatan dan muhibah.

    Semua di atas: Antara suasana semasa kelas berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda