HONG KONG – Apabila rakan-rakan datang melawatnya, Edmund Lai tahu apa yang diharapkan.
“Memperkatakan tentang Hong Kong, semua orang pasti akan memikirkan bangunan pencakar langit dan penduduknya. Tetapi, sebaik sahaja menaiki kayak laut, mereka pasti tidak mahu kembali,” kata Lai, 29.
Lai ialah juru pandu kayak dan menyukai jelajah ke pulau-pulau berbanding bandar besar.
Kebiasaannya, pelancong yang datang ke Hong Kong tidak akan pergi ke pulau-pulau itu.
Mereka mahukan pemandangan indah dan terbaik di Victoria Peak, iaitu gunung yang terdapat di bandar itu. Mereka datang untuk pertunjukan cahaya latar langit harian bertajuk Symphony Of Lights di samping hiburan, membeli-belah, budaya.
Secara ringkasnya, mereka datang untuk merasai kehidupan metropolis bertaraf dunia.
Tetapi bagi mereka yang mendambakan sesuatu yang berbeza dan sedikit ketenangan, bolehlah menjelajah ke pulau-pulau kecil di Laut China Selatan di sekitar Hong Kong.
Sebuah lembangan pelabuhan yang indah, di sebuah bandar kecil dengan pelbagai lorong dan pantai di mana ia merupakan antara sebab pengunjung untuk melawat Cheung Chau, tempat mesra dengan teluk yang dipenuhi dengan bot berwarna-warni.
Sebahagian nelayan Cheung Chau masih tinggal di atas kapal. Basil Hui, 64, seorang ahli sejarah amatur dari pulau itu, berkata ia adalah perkara biasa, “Seluruh keluarga tinggal di atas kapal, mungkin 10 orang.”
Basikal adalah pengangkutan pilihan di tempat itu, memandangkan jarak yang dekat di pulau sejauh 2.5 kilometer (km) persegi. Dua pantai berpasir terbentang ke timur, manakala pokok orkid berada di sudut tepi persiaran ke barat daya.
Untuk menerokai hujung selatan pulau itu, awda perlu meletakkan basikal berhampiran kuil Tao yang didedikasikan untuk Tin Hau, kemudian meneruskannya dengan berjalan kaki apabila anak tangga menghalang laluan.
Cheung Chaua akan sibuk pada hujung minggu. Semasa Pesta Tanglung pada Januari, perarakan Tin Hau pada April dan Festival Perahu Naga pada Jun atau Julai, pulau tersebut akan menjadi sesak, tetapi ia masih berbaloi untuk dikunjungi pada masa tersebut untuk merasai suasana perayaan, cadang Hui.
PULAU SHARP
Pulau ini sunyi. Aktiviti meluncur dan dayungan pada air adalah satu-satunya kesan bunyi yang terdapat semasa menghampiri Pulau Sharp di mana ia kelihatan seperti bahagian belakang naga hijau.
Perjalanan menggunakan kayak laut mengelilingi pulau itu bermula di perkampungan pelabuhan Sai Kung. Perjalanan pergi balik sejauh 11km akan mengambil masa sehari.
Lai berkata terdapat dua tarikan tambahan pada lawatan itu iaitu berhenti di arca terbuka Moonrise by Daylight dan lencongan ke Pantai Whiskey di pulau jiran Kau Sai Chau.
Selain itu, terdapat juga pantai yang menakjubkan mempunyai ukuran kira-kira 80 meter lebar, tetapi sebahagian besarnya hilang semasa air pasang.
Teritip melekat di atas batu pada air jernih di sekitar Pulau Sharp. Dalam keharmonian yang mendalam dengan alam semula jadi, Lai berkata dia merasakan kebebasan di pulau itu.
PENG CHAU
Rentak kehidupan yang santai di pulau Peng Chau sangat mengujakan disebabkan oleh lorong-lorongnya yang bebas lalu lintas.
Peng Chau berukuran tidak lebih daripada 1km persegi. Bertentangan dengan pasar, ikan digantung dan kaki ayam tersedia di dalam mangkuk di luar kedai.
Pastikan awda juga mengagumi seni jalanan, kolaj diperbuat daripada telefon mudah alih yang tidak digunakan lagi dan dinding dilitupi grafiti dengan basikal bercat merah ditempatkan di hadapannya.
PO TOI
Pulau paling selatan Hong Kong, Po Toi ialah sebuah lagi pulau bebas kenderaan, dengan satu-satunya kampung yang terletak di kawasan feri teluk di mana terdapatnya pondok nelayan dan deruan ombak di pantai.
Laluan konkrit yang disertakan dengan papan tanda selari dengan garis pantai berceranggah dan mendaki ke formasi batu yang dipanggil Monk and Turtle. Cabang-cabang membawa kepada muka batu dengan ukiran yang berusia lebih daripada 3,000 tahun.
Candy Lau Kam Lin, 66, sangat beruntung di mana laluan itu sehaluan dengan restoran kecilnya yang menghidangkan sup sejuk dan manis diperbuat daripada kacang hijau, rue dan rumpai laut kering.
TUNG PING CHAU
Perjalanan feri ke pulau paling terpencil di Hong Kong mengambil masa hampir dua jam.
Satu lagi pulau bebas kereta, Tung Ping Chau ialah buku bergambar geologi, dengan batu lempeng dengn warna coklat berkarat dan kuning. Perjalanan mengelilingi pulau itu mengambil masa kira-kira empat jam. – ANN/TheStar