Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teroka strategi inovatif capai SDG

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah menghadiri Kohort Ketiga Majlis Global Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan telah diberi penghormatan untuk menjadi Pengerusi Majlis Global yang memberi tumpuan kepada SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini. 
     
    Majlis Global Mengenai SDG berkenaan, yang telah ditubuhkan pada tahun 2018, bertujuan menginspirasikan tindakan di seluruh dunia ke arah menggalakkan pelaksanaan SDG dengan memberikan platform kerjasama untuk menyelia projek inovatif dan membincangkan idea kreatif ke arah pelaksanaan 17 SDG di peringkat nasional dan global. 
     
    Di samping itu, ia juga memberi ruang bagi menganalisis, mengukur impak dan melaporkan kemajuan SDG setiap tahun, mengukuhkan kerjasama global ke arah pencapaian Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.
     
    Beberapa pemimpin negara dan kerajaan telah hadir semasa Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2025 yang bertemakan Shaping Future Governments, manakala Kohort Ketiga Majlis Global Mengenai SDG telah dihadiri menteri-menteri yang telah diundang menjadi pengerusi bagi setiap 17 SDGs.
     
    Kohort Ketiga Majlis Global Mengenai SDG adalah salah satu acara yang dijadualkan dalam program SDGs in Action 2025 ‘Envisioning 2045: Inclusive Pathways to Sustainable Development’ semasa Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2025 yang telah berlangsung selama tiga hari.
     
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyertai Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2025 di Dubai, UAE baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Gambar ramai semasa Kohort Ketiga Majlis Global Mengenai SDG di Dubai, UAE baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Di acara tersebut, Yang Berhormat Dato juga telah dijemput untuk menyertai beberapa acara lain termasuk sesi XDGs 2045 Ministerial Roundtable, SDGs in Action Forum dan Global Health Forum.
     
    Semasa sesi XDGs 2045 Ministerial Roundtable, Yang Berhormat Dato telah menyertai perbincangan mengenai masa depan selepas SDG 2015-2030.
     
    Ia termasuk menerokai strategi jangka panjang dan rangka kerja inovatif untuk membimbing agenda pembangunan global, membincangkan mekanisme untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan kerajaan, sektor swasta, NGO dan organisasi antarabangsa dan mengenal pasti inovasi transformatif yang boleh memacu kemajuan ke arah XDGs 2045.
     
    Sementara itu, semasa sesi SDGs in Action Forum, Yang Berhormat Dato telah dijemput untuk menjadi ahli panel bagi forum ‘Strategies for Universal Health Coverage and Reducing Health Inequalities yang mana perbincangan memfokuskan kepada penerokaan strategi inovatif untuk mencapai liputan kesihatan sejagat (UHC) dan mengurangkan ketidaksamaan kesihatan.
     
    Pada sesi tersebut, Yang Berhormat Dato mengetengahkan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam penjagaan kesihatan ke arah liputan kesihatan sejagat yang mampan termasuk kapasiti sumber manusia, peningkatan kos penjagaan kesihatan, peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit dengan penuaan penduduk.
     
    Di samping itu, Yang Berhormat Dato  turut mengongsikan pengalaman mengenai health digitisation yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam termasuk penggunaan BruHealth dalam program saringan kebangsaan dalam usaha untuk mengukuhkan sistem kesihatan, memastikan akses penjagaan kesihatan yang saksama dan membina daya tahan terhadap penjagaan kesihatan untuk masa hadapan.
     
    Manakala semasa Global Health Forum, Yang Berhormat Dato menjadi ahli panel bagi forum From Vision to Reality yang mana perbincangan telah memfokuskan sistem penjagaan kesihatan dalam era pasca COVID dan visi untuk masa depan penjagaan kesihatan.
     
    Selain itu, beliau juga mengongsikan mengenai inisiatif-inisiatif dan pencapaian Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam termasuk penggunaan AI dalam saringan diabetic retinopathy dan kanser payudara yang telah membantu menaik taraf dan meningkatkan akses perkhidmatan saringan sementara mengetengahkan potensi AI untuk membantu sistem kesihatan yang mempunyai cabaran tenaga kerja manusia dan melihatnya sebagai enabler  dan bukannya menggantikan manusia, dalam membangunkan sistem kesihatan yang berdaya tahan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda