Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terokai agro-pelancongan di Selangor Fruit Valley

    Oleh Noor Farhana Ahmad Norain dan Wan Nafis Aiman Wan Raselan

    RAWANG – Di pinggir Lembah Kelang, tersembunyi sebuah ladang buah-buahan dan sayur-sayuran yang dibuka untuk orang ramai menerokainya.

    Terletak kira-kira satu jam dari Kuala Lumpur, Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya menawarkan pengalaman agro-pelancongan kepada pengunjung menerusi tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, ‘petting zoo’ dan pelbagai aktiviti luar yang lain.

    Pengurus Agro Tourism, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Md Saad Mahsah berkata pengunjung bukan sahaja dibawa melihat keseluruhan ladang, malah berpeluang memetik sendiri dan merasai hasil tanaman di kawasan seluas 1,000 hektar itu.

    “Di SFV kami memperkenalkan tema ‘Sharing The Experience’ atau berkongsi pengalaman kerana kita sediakan ternakan haiwan.. kita dapat pegang haiwan, bau haiwan yang kadangkala mengingatkan kita kepada kampung halaman, atau tempat lahir kita dahulu. Kita juga memberikan pengalaman baharu kepada generasi muda yang mungkin tidak kenal asal-usul atau rupa haiwan-haiwan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika  ditemui di Selangor Fruit Valley.

    Terbaik untuk kesihatan

    Sebaik melangkah masuk ke SFV, pengunjung akan dibawa melawat Taman Mini Herba yang menempatkan 40 jenis tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat untuk kesihatan.

    SFV telah menerima tiga anugerah daripada Majlis Pelancongan Malaysia iaitu di Anugerah Emas 2017 – Pengalaman Terbaik Pelancongan Agro,  dan pada Anugerah Emas 2018 iaitu   ‘Fastest Growing Agro Tourism Park’ (Platinum) dan ‘Agro Tourism Initiative Programme’ (Emas). – Agensi

    Destinasi agro-pelancongan yang dibangunkan PKPS itu sebenarnya mula dibuka kepada umum pada tahun 2007 di bawah nama Selangor Tropical Fruit Garden, sebelum diambil alih oleh SFV pada 2014. – Agensi
    Pemandangan di ladang Selangor Fruit Valley (SFV) seluas kira-kira 1,000 hektar, yang terletak di Bestari Jaya. – Bernama

    Antaranya pokok pecah kaca yang boleh meredakan senggugut, lidah kucing (mengubat penyakit kudis buta), akar bakawali (kencing manis), tapak sulaiman (merawat cacing, meredakan panas badan) dan air mata pengantin yang merupakan sumber utama untuk kelulut menghasilkan madu.

    Di SFV terdapat 20 jenis buah-buahan dengan 40 varieti seperti belimbing, durian (Musang King, Black Thorn, IOI, D24 dan Montong), mangga (Red Star, Lily, Harum Manis dan Kuinin), kelapa (Matag dan Pandan), markisa, buah tin, lemon (kuning dan hijau), jambu batu serta pelbagai jenis tembikai termasuk sun melon dan winter melon.

    Pelbagai jenis sayuran turut  ditanam di kawasan tanah yang disewakan kepada usahawan tani pada kadar rendah iaitu sawi, bayam, bendi, terung dan timun.

    Md Saad berkata terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu, dan SFV merupakan pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.

    Destinasi agro

    Bagi haiwan pula, SFV memiliki 11 ekor rusa dewasa dan empat ekor anak rusa, lebih 100 ekor arnab daripada spesis ‘Teddy Bear’ dan ‘Angora’, 75 ekor kambing, puluhan ekor ayam, itik dan angsa.

    Menjelas lanjut, beliau berkata destinasi agro-pelancongan yang dibangunkan PKPS itu sebenarnya mula dibuka kepada umum pada 2007 di bawah nama Selangor Tropical Fruit Garden, sebelum diambil alih oleh SFV pada 2014.

    Ladang itu ditutup sementara bagi pembangunan semula dengan le-bih banyak tanaman pokok buah-buahan dan dibuka semula secara rasmi pada Julai 2017 oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Sejak dibuka semula, kami telah menerima 70,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang masyarakat dan pelancong asing.

    “Bukan sahaja pengunjung daripada pelbagai syarikat dan institusi pengajian tinggi datang mengadakan pelbagai aktiviti di sini, malah kami sering menerima kunjungan kanak-kanak dari peringkat prasekolah,” katanya lagi.

    Mendapat anugerah

    Tambah menarik, dalam tempoh singkat itu juga, SFV telah menerima tiga anugerah daripada Majlis Pelancongan Malaysia iaitu di Anugerah Emas 2017 – Pengalaman Terbaik Pelancongan Agro,  dan pada Anugerah Emas 2018 iaitu   ‘Fastest Growing Agro Tourism Park’ (Platinum) and ‘Agro Tourism Initiative Programme’ (Emas).

    Sebelum menyertai SFV, Md Saad merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan di Tourism Selangor yang bertanggungjawab mempromosi negeri itu dan Malaysia ke negara luar.

    Dengan pengalaman selama 18 tahun dalam sektor pelancongan, Md Saad berkata beliau tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya lamanya untuk menyertai bidang perladangan.

    “Dua minggu pertama berulang alik dari rumah ke SFV, saya bertanya kepada diri sendiri. Betulkah tindakan ini? Ternyata betul, dan saya amat gembira di sini.

    “Saya gembira menuntut ilmu mengenai peladangan daripada staf di sini, dan saya juga berkongsi ilmu pelancongan dengan mereka,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda