Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Bidang pertanian menjadi tumpuan dalam tazkirah subuh bertajuk ‘Nikmat Berbudi Pada Tanah’ semasa Program Masjidku Makmur Negara Berkat yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dalam ceramahnya menyentuh mengenai kepentingan untuk meneroka bidang pertanian dan memastikan ia ditangani dengan berkesan sehingga berhasil.
Beliau menyentuh mengenai misi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2016-2020 yang menggariskan peta jalan bagi Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mencapai sasaran yang dikenal pasti dapat memajukan sektor pertanian.
Hadir dan menyertai bersama-sama para jemaah menunaikan solat Fardu Subuh ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak; Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Abdul Halidi bin Haji
Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEU serta KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.
