Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 19 Feb – Sebagai pendedahan secara langsung, bekas pegawai-pegawai Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan isteri masing-masing telah menganjurkan program lawatan ke Daerah Temburong dengan menaiki sebuah bus sewa khas, kelmarin.
Ketua rombongan, Yang Dimuliakan Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kol (B) Dato Seri Pahlawan Haji Kifli bin Orang Kaya Laila Setia Haji Razali berkata, program yang mendapat kerjasama daripada Program Santai Isteri-isteri Mantan Pegawai-pegawai TLDB itu berlangsung sehari suntuk.
Menurutnya, program yang menjadi aktiviti tahunan itu bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada ahli-ahlinya.
“Ia sesuatu yang sangat menarik apabila dapat berkongsi perjalanan menaiki bas dari Bandar Seri Begawan melintasi daerah negara jiran, lebih-lebih lagi apabila ia menjadi pengalaman pertama kepada mereka menggunakan perkhidmatan awam ini,” ujar beliau.
Menerusi lawatan berkenaan, rombongan didedahkan mengenai kepentingan Satu Kampung Satu Produk apabila tiba di kawasan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belais dan Buda-Buda sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Memperoses Ambulong MPK Batu Apoi.
“Selain itu, lawatan ini adalah satu aktiviti sosial penting dalam usaha menjalin silaturahim di kalangan ahli dengan masyarakat mukim dan kampung yang mereka lawati,” tambahnya.