Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terokai keajaiban gua terbesar dunia

    PHONG NHA, VIETNAM – Pembentukan batu-batan besar sebesar saiz bangunan pelbagai tingkat muncul di atas Ho Minh Phuc, ketika dia memilih jalan menerusi kekelaman gua terbesar di dunia.

    Phuc, pernah mencari nafkah melalui pembalakan haram, kini bekerja sebagai porter atau pembawa beg untuk kumpulan pelawat yang meninjau Son Doong, Vietnam – sebuah gua yang amat besar sehingga ia mempunyai ekosistem dan pola cuacanya sendiri.

    Tempat tinggal kepada keluang dan pembentukan batu setinggi 70 meter yang menyerupai kaki anjing, gua itu merupakan satu lagi keajaiban dunia yang telah membentuk kehidupan komuniti di sekitarnya sejak ia dibuka kepada pelancongan pada 2013.

    Terperangkap dalam kemiskinan, pemuda seperti Phuc tidak mempunyai pilihan kecuali mencari dalam Taman Negara Phong Nha-Ke Bang – tapak Warisan Dunia di mana terletaknya Son Doong.

    Di sana mereka mencari kayu berharga, bahan yang amat dicari-cari terkenal sebagai ‘kayu tuhan’ dan digunakan untuk membuat kemenyan.

    Pelawat mengunjungi gua Son Doong, salah sebuah gua terbesar di dunia di wilayah tengah Vietnam Quang Binh pada 19 Januari 2021. – AFP

    Pelawat memanjat turun semasa kunjungan di gua Son Doong, gua semula jadi terbesar dunia di wilayah Quang Binh, Vietnam. – AFP
    Porter Vietnam Ho Minh Phuc semasa kunjungan di gua Son Doong di wilayah Quang Binh, Vietnam. – AFP

    Yang lainnya mencari rezeki daripada memburu musang terancam dan landak dalam hutan.

    “Kami perlu melakukan apa yang mampu untuk mengelak renjer hutan,” beritahu Phuc, 35 tahun. “Kami tidak melakukan apa-apa yang baik untuk alam semula jadi.”

    Son Doong di tengah wilayah Quang Binh pertama ditemui oleh penduduk tempatan Ho Khanh pada 1991, apabila dia terserempak pintu masuk dalam cenuram batu kapur dan terdengar bunyi air sungai mengalir di dalamnya.

    Namun selepas pulang ke rumah menerusi hutan tebal, Khanh lupa di mana terletaknya pintu masuk tersembunyi itu, dan ia kekal hilang selama dua dekad selepas itu.

    Akhirnya apabila dia memimpin sekumpulan pakar British kembali semula ke sana pada 2009, kumpulan itu mendapati ia mempunyai keratan rentas terbesar mana-mana gua yang terdapat di bumi.

    Ia cukup besar untuk menempatkan bangunan pencakar langit setinggi 40 tingkat di seluruh blok Bandar New York, menurut syarikat pelancongan Oxalis, yang memandu pelawat di dalam gua.

    Apabila Son Doong dibuka kepada pelancong empat tahun kemudian, kehidupan Khanh dan ratusan penduduk tempatan berubah selama-lamanya.

    Mereka menjadi porter dan pemandu pelancong dan membuka rumah kepada pelawat yang ingin bermalam di sana.

    “Sesetengahnya menjadi kaya menerusi kerja pembalakan, tetapi kebanyakan mereka menjalani kehidupan amat susah,” kata Khanh, kini berusia 52 tahun, mengenai masa sebelum gua dibuka kepada dunia luar.

    “Apabila syarikat pelancongan tiba, saya memberitahu anak muda bahawa tugas pertama mereka adalah melin-dungi alam sekitar agar memberi faedah bukan sahaja kepada diri kami tetapi juga anak-anak kami, supaya kehidupan boleh bertambah baik.”

    Sebelum pandemik koronavirus, industri pelancongan Vietnam sedang berkembang pesat, tetapi negara komunis itu telah dikecam kerana gagal memelihara landskap tatkala ia mengembang sektor berkenaan.

    Kawasan itu setakat ini tidak menggunakan model pelancongan besar-besaran yang digunakan di lokasi percutian lain di Vietnam seperti Halong Bay, di mana kapal persiaran telah memuntahkan kumbahan ke dalam perairan.

    Dengan hanya sebuah syarikat diberikan kebenaran untuk beroperasi di setiap gua utama, insentif ditawarkan untuk melindungi gua tersebut, dengan jumlah pelawat dihadkan dan harga ditetapkan mahal.

    Namun timbulnya cabaran di depan, UNESCO mengingatkan baru-baru ini.

    Pemburuan masih merupakan antara ‘ancaman paling serius’ untuk taman negara, katanya dalam satu laporan yang juga mengemukakan kebimbangan berhubung cadangan untuk membina kereta kabel ke gua Hang En berhampiran.

    Pembalakan juga belum lenyap, 18 orang dijatuhi hukuman penjara pada tahun lalu kerana menebang pokok di taman negara.

    Tatkala COVID-19 melanda seluruh dunia, penduduk tempatan yang memenuhi keperluan pelancong antarabangsa telah bergelut. Khanh berkata pelanggannya telah merosot 90 peratus sejak pandemik bermula.

    Namun Son Doong berjaya menangani krisis dengan baik secara keseluruhannya, disebabkan pertambahan dalam pelawat di kalangan kelas pertengahan penduduk Vietnam.

    Model pelancongan gua – yang menyediakan kira-kira 500 pekerjaan untuk komuniti tempatan – telah mulai menarik minat dalam bidang lain, menurut Oxalis.

    Bagaimanapun, profesional industri berasa ragu-ragu bahawa pandemik mungkin mencetuskan perubahan dasar di seluruh negara.

    “Industri pelancongan Vietnam telah menggubal beberapa dasar amat baik tetapi mereka pada umumnya tidak menghiraukan dasar mereka sendiri,” kata Peter Burns, pakar runding perancang pelancongan dan profesor yang mengusahakan projek pelancongan mampan lima tahun yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda