Oleh Sim Y.H. –
Mengenali dan mempelajari hutan hujan tropika lebih-lebih lagi meneroka sendiri hutan hujan Ulu Temburong merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi 15 peserta Program Pengalaman Penyelidikan Tropika (TREx).
Program unik selama 12 hari berkenaan telah menyaksikan para peserta meneroka hutan hujan untuk mengendalikan projek penyelidikan dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang direka bertujuan meningkatkan kefahaman mereka terhadap ekosistem menarik itu.
Program TREx merupakan program tahunan utama di bawah Institut bagi Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD) di mana program pada tahun ini telah diadakan dari 26 Jun hingga 7 Julai.
Program itu bermatlamat menawarkan pengalaman penyelidikan biodiversiti kepada para peserta dan kefahaman mengenai ekologi hutan hujan tropika serta ekosistem akuatik.
Matlamat program berkenaan adalah selaras dengan misi IBER iaitu mempromosikan penyelidikan biodiversiti, pendidikan dan pemuliharaan serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Dengan menggabungkan pendekatan saintis masyarakat, program TREx 2023 menyaksikan penyertaan peserta-peserta dari dalam dan luar negara yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli biologi, ahli kimia, kejuruteraan, perubatan, sosiologi, antropologi dan kesenian.
Minggu pertama Program TREx 2023
Minggu pertama program menyaksikan para peserta diperkenalkan kepada aktiviti penyelidikan dan biodiversiti yang kaya melalui sesi secara maya yang dikendalikan oleh saintis-saintis penyelidikan utama yang bergiat aktif dalam penyelidikan bidang ekologi tropika.
Menerusi sesi perbincangan interaktif dan kuliah maya berkenaan, para peserta diberikan pendedahan kepada penyelidikan biodiversiti, pemuliharaan dan pendekatan berlainan kepada pelaksanaan projek-projek penyelidikan di hutan hujan tropika.
Minggu kedua Program TREx 2023
Minggu kedua program pula menyaksikan para peserta berkunjung ke Pusat Kajian Kuala Belalong (KBFSC) di Taman Negara Ulu Temburong (UTNP) bagi mengendalikan projek-projek penyelidikan bertemakan biodiversiti.
Projek-projek penyelidikan itu merupakan aktiviti utama bagi program TREx yang menyumbang kepada kefahaman para peserta mengenai kekayaan biodiversiti UTNP.
Para peserta TREx telah diberikan bimbingan daripada fasilitator berpengalaman dan pakar-pakar tempatan di mana sebahagian projek yang dikendalikan oleh mereka melibatkan pengajian dalam ekologi tumbuh-tumbuhan, burung dan ikan air tawar.
Aktiviti-aktiviti TREx yang diadakan termasuk pengembaraan hutan pada siang dan malam di mana para peserta berpeluang menyaksikan rangkaian ekosistem kehidupan yang menarik dalam hutan hujan UTNP di samping menghargai kepentingan memulihara ekosistem yang berharga itu.
Pengembaraan berpandu itu membolehkan para peserta mengenali pelbagai spesies pokok, menyaksikan tumbuh-tumbuhan dan mendengar bunyi-bunyian hutan. Sementara itu, pengembaraan di sebelah malam pula memberikan pengalaman yang amat luar biasa bagi para peserta di mana mereka menyaksikan sendiri kehidupan fauna dalam hutan diiringi bunyi-bunyian yang menarik.
Kuliah juga disampaikan oleh penyelidik-penyelidik IBER dan UBD di mana mereka membentangkan pelbagai topik termasuk mamalia di Borneo, Bioinspirasi dan Rhizanthes serta penyelidikan ekologi ikan di KBFSC.
Selain itu, sesi kuliah turut mengongsi maklumat mengenai beberapa aktiviti penyelidikan yang sedang dikendalikan oleh IBER dan UBD.
Program TREx berakhir dengan para peserta menyampaikan hasil dapatan penyelidikan mereka semasa majlis penutup program berkenaan. Pada majlis itu, mereka berpeluang membincangkan dengan lebih lanjut mengenai usaha pemuliharaan dan penyelidikan biodiversiti yang boleh dilaksanakan untuk memulihara hutan hujan.
Para peserta mengongsikan bahawa TREx 2023 merupakan satu pengalaman dan perjalanan yang tidak dapat dilupakan. Ia telah memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai kekayaan biodiversiti hutan hujan Brunei serta pada masa yang sama, memberikan inspirasi kepada mereka bagi menjadi pejuang pemuliharaan.
Melalui pengalaman secara langsung, pengembaraan berpandu dan projek masing-masing, para peserta telah menjalinkan hubungan yang mendalam dengan ekosistem berkenaan serta keazaman untuk melindunginya.