Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terokai peluang kerjasama sektor pengangkutan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, telah mempengerusikan bersama bagi pihak Negara Brunei Darussalam perasmian Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama bagi Kerjasama dalam Bidang Pengangkutan Brunei Darussalam-Malaysia (BMJCT) melalui sidang video pada 8 Oktober.
     
    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MTIC, di sini, mesyuarat itu juga dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, selaku pengerusi bersama bagi pihak Malaysia.
     
    Turut hadir sebagai ahli jawatankuasa bersama bagi pihak Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Pemangku Pengarah Penerbangan Awam, Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan dari MTIC serta agensi-agensi di bawah nya.
     
    Haji Mohammad Nazri dalam ucapan pembukaannya menekankan kerjasama dan hubungan rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, khususnya dalam sektor pengangkutan, yang memperkukuhkan hubungan ekonomi serta memudahkan pergerakan orang dan kargo di antara kedua-dua negara. 
     
    Ia dilakukan melalui inisiatif seperti penandatanganan Perjanjian Perkhidmatan Udara baharu pada 2023, pengoperasian perkhidmatan feri Serasa-Labuan serta perkembangan prasarana jalan raya bertujuan meningkatkan perjalanan di dalam negara dan merentas sempadan, sekali gus mencerminkan matlamat bersama untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara kedua-dua negara. 
     
    Haji Mohammad Nazri mempengerusikan mesyuarat bersama Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Haji Mohammad Nazri bergambar bersama wakil Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat tersbeut. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Haji Mohammad Nazri seterusnya menekankan kepentingan kesalinghubungan kedua-dua buah negara bagi mengukuhkan kedudukan serantau, melalui fora seperti ASEAN, BIMP-EAGA, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
     
    BMJCT ditubuhkan berikutan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama di dalam Bidang Pengangkutan sempena Konsultansi Ketua-ketua Negara kali ke-25 di Bandar Seri Begawan pada 26 Ogos 2024. 
     
    Objektif jawatankuasa bersama adalah bagi membincangkan kerjasama termasuk memudahkan pergerakan barangan dan penumpang, teknologi dan inovasi pengangkutan serta logistik.
     
    Semasa mesyuarat pertama itu, BMJCT telah meluluskan terma rujukan (TOR) serta pelan kerja untuk 2026 yang akan membimbing jawatankuasa bersama serta ahli-ahlinya untuk melaksanakan objektif MoU. 
     
    Mesyuarat telah bertukar-tukar pendapat, maklumat serta amalan terbaik daripada perkembangan dasar pengangkutan terkini, termasuk inisiatif-inisiatif pendigitalan dan seterusnya menerokai peluang kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia untuk menangani isu-isu berbangkit.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda