Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kemunculan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) mewujudkan peluang dan cabaran baru bagi Negara Brunei Darussalam dan juga negara serantau lainnya, di mana ia telah membawa tahap persaingan yang tidak pernah berlaku dalam kalangan perniagaan tempatan serta dari syarikat asing yang melabur di negara ini.
Justeru itu, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa AEC akan mendedahkan perniagaan tempatan kepada daya saing global dan jika mereka tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang akan datang, mereka bakal kehilangan bahagian pasaran kepada pesaing-pesaing asing.
Perkara tersebut ditekankan oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB), Dr. Haji Kamaruddin bin DSP Haji Talib semasa Majlis ‘Power Lunch’ yang diadakan di Hotel Radisson, di ibu negara, hari ini.
Beliau seterusnya berkata syarikat-syarikat yang terus mengendalikan perniagaan mereka seperti biasa dan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan permintaan pasaran mungkin mendapati diri mereka tidak lagi relevan dan tidak lagi berkekalan atau ketinggalan.
Tambahnya lagi, salah satu matlamat utama dalam Pelan Tindakan AEC ialah Pasaran Tunggal dan Pangkalan Pengeluaran yang ditentukan oleh aliran bebas dari barangan, perkhidmatan, pelaburan, tenaga kerja dan juga pekerja mahir.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P14-A_301117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P14-B_301117.jpg)
Beliau juga menyimpulkan bahawa Majlis ‘Power Lunch’ kali pertama berkenaan bertindak sebagai platform yang membawa bersama-sama pemimpin perniagaan dan pengurup permainan di pelbagai sektor dan industri di negara ini untuk berkongsi peluang pelaburan dan trend dalam kalangan firma asing berhubung dengan ekonomi Brunei.
Manakala menurut Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dalam ucaptamanya pada majlis tersebut antara lain menekankan mengenai perspektif Jepun ke atas ekonomi global dan kesan ke atas pembangunan ekonomi Jepun.
Beliau berkata bahawa kebanyakan syarikat Jepun sedang mencari peluang global untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka dan pendekatan yang agresif untuk penggabungan dan pengambilalihan adalah hasil daripadanya. Oleh itu, kerajaan Jepun adalah sangat penting dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Beliau menambah bahawa Jepun dan Eropah baru-baru ini bersetuju untuk menyimpulkan FTA Jepun-Eropah yang penting dan walaupun Amerika Syarikat telah menarik diri dari Perkongsian Trans Pasifik (TPP), kerajaan Jepun telah berusaha keras untuk memastikan perpaduan di antara 11 ahli perjanjian yang lain.
Katanya, Jepun percaya bahawa TPP 11 akan berkuatkuasa tahun depan dan telah memperkenalkan peraturan perdagangan dan pelaburan tertinggi di rantau Asia Pasifik dan dalam isu ini, Brunei telah menyokong sepenuhnya kedudukan Jepun.
Tuan Yang Terutama berkata bahawa negaranya melihat hubungan ekonomi Jepun-ASEAN adalah sebagai isu yang penting.
Beliau dalam pada itu juga menjelaskan bahawa hubungan kuat antara Brunei dan Jepun disokong oleh perkongsian perdagangan yang kukuh antara kedua-dua negara dalam Gas Asli Cecair (LNG). Jepun membeli 70 peratus daripada LNG yang dihasilkan oleh Syarikat Brunei LNG, yang mana 25 peratus daripadanya dimiliki oleh Mitsubishi Corporation.
Mengenai pelaburan Jepun masa depan di negara ini, Tuan Yang Terutama berucap mengenai Loji Hidrogen utama yang disokong oleh teknologi canggih Jepun yang akan memulakan pembinaannya pada April 2018.
Beliau menjelaskan bahawa projek ini memberi peluang penting bagi Jepun dan Brunei untuk lebih memahami bagaimana memanfaatkan sepenuhnya tenaga hijau.
Pada projek masa depan yang lain, Institut Penyelidikan Tenaga Brunei telah membuat kajian bersama dengan pemikir Jepun, Eria, yang menyiasat atas kemungkinan dan pembangunan teknologi penjimatan tenaga baru dan Bandar Eko (Eco-Town) di Temburong.
Tuan Yang Terutama turut mengongsikan bahawa dari segi pelancongan, ia menawarkan satu lagi peluang yang kukuh dan Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam akan terus bekerja keras untuk meningkatkan jumlah orang dari Jepun untuk datang dan menikmati pemandangan indah di Brunei.
Beliau menambah bahawa Kedutaan Jepun bekerja keras dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Brunei untuk menyimpulkan penandatanganan Perjanjian Bantuan Teknikal (Technical Assistance Agreement).
Rundingan berkenaan, menurut beliau, berada di peringkat akhir dan apabila disimpulkan, pakar dari Japan’s International Cooperation Agency (JICA) akan datang ke Brunei untuk merangka pelan tindakan khusus untuk menyokong kemajuan teknologi di Brunei dalam pelbagai bidang.
Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa pelan tindakan tersebut, yang disediakan oleh pakar JICA, akan membawa kepada banyak peluang perniagaan baru dari Jepun.
Selain ucaptama dari Tuan Yang Terutama, dua ahli perniagaan tempatan terkemuka, Soffian Umar dari Perkhidmatan Pengurusan L’Etoille dan Musa Adinin dari Adinin Group turut mengongsikan pengalaman mereka dalam perspektif personal mereka di dalam segmen ‘Our Story’ pada majlis tersebut.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh ahli-ahli DPPMB, ahli perniagaan terkemuka, ahli-ahli kor diplomatik dan jemputan lainnya.