Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Terokai pengalaman di Daerah Temburong

    Oleh Nurdiyanah R.

    Di mana pun kita melangkah dalam setiap perjalanan, pasti tersimpan suatu pengalaman.

    Hal ini kerana pengalaman adalah satu-satunya sumber pengetahuan. Namun kepekaan itu tertakluk pada diri sendiri sama ada ia mampu membuka mata hati dan jiwa serta akal fikiran atau hanya untuk melakar potret semata-mata.

    Apabila tiba hujung minggu bersama insan-insan tersayang, sesekali tidak salah jika kita berehat sejenak menerokai tempat-tempat menarik di negara ini.

    Walaupun Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang kecil, namun ia mempunyai banyak produk dan lokasi tarikan pelancong, sama ada wujud secara semula jadi atau dibina oleh masyarakat setempat.

    Menariknya, Daerah Temburong juga memiliki tempat-tempat yang berupaya menjadi penyejuk mata orang ramai yang gemar jalan-jalan dalam negara bersama ahli keluarga mahu pun sahabat-handai, lebih-lebih lagi dengan berdirinya kemudahan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.

    Perusahaan produk bawang goreng merupakan salah satu platform bagi meningkatkan perekonomian daerah berkenaan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Telur masin yang telah dihasilkan merupakan salah satu produk tempatan menerusi program 1K1P di Daerah Temburong. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Salah seekor spesies haiwan yang terdapat di Taman Mini Zoo Batang Duri bagi tarikan pengunjung. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Rumah panjang atau dalam bahasa Iban disebut ‘rumah panjai’, merupakan satu cerminan identiti masyarakat Iban. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Hakikatnya setiap keindahan dan ketenangan yang ada pada tempat-tempat menarik itu setentunya menyimpan pelbagai khazanah yang begitu berharga dan perlu dipelihara daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

    Terokai sentuhan produk asli

    Kira-kira lima kilometer dari Pekan Bangar, Kampung Puni dan Ujong Jalan, Mukim Bangar di daerah itu sememangnya tidak asing lagi dengan penghasilan telur masin sebagai salah satu produk tempatan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ berkenaan.

    Lebih 30 orang ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Puni dan Ujong Jalan telah mula menjalankan pemeliharaan itik penelur sekitar penghujung tahun 2009 dan sekali gus menjadikan sebagai produk telur masin sebagai salah satu produk 1K1P di daerah berkenaan.

    Kini mereka telah berjaya bersama-sama mengusahakan dan menghasilkan telur masin untuk dikomersialkan bukan hanya bagi memenuhi permintaan di dalam daerah bahkan juga di luar daerah.

    Begitu juga kegigihan ahli-ahli Biro Wanita MPK Belais dan Buda-Buda, Kampung Belais, daerah berkenaan dalam perusahaan produk bawang goreng mereka yang telah menjadikannya salah satu platform untuk meningkatkan perekonomian diri dan keluarga dari semasa ke semasa.

    Selami keindahan tradisi dan budaya

    Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari Pekan Bangar, wujudnya rumah panjang menjadi khazanah warisan masyarakat Iban sehingga bersemadinya semangat perpaduan dan keharmonian meniti kehidupan di bawah satu bumbung, begitulah suasana yang dirasai apabila kita berpeluang menjejakkan kaki di salah sebuah rumah panjang di Daerah Temburong, Rumah Panjang Kampung Amo ‘B’ di Mukim Amo.

    Rumah panjang atau dalam Bahasa Iban disebut ‘rumah panjai’, merupakan satu cerminan identiti masyarakat Iban.

    Rumah Panjang Kampung Amo ‘B’ itu berstruktur buatan kayu yang memiliki 15 buah pintu bilik utama dan dihuni oleh lebih 90 orang ahli keluarga secara keseluruhannya itu merupakan pembinaan kali kedua pada tapak yang sama.

    Pastinya penghuninya terdiri daripada mereka yang mempunyai pertalian darah. Itulah simbolik dan keunikan rumah panjang ini sehingga menjadi identiti khazanah tradisi masyarakat Iban dari satu generasi ke generasi penerus meskipun zaman silih berganti.

    Menariknya Rumah Panjang Kampung Sibut atau dikenali dengan nama Lubuk Batu Mas Homestay di Mukim Amo juga menyediakan perkhidmatan inap desa sehingga mampu menjadi pencetus pusat tarikan pelancong dalam negara mahu pun luar negara ke daerah tersebut.

    Rumah panjang berstruktur dua tingkat iaitu separa kayu pada bahagian atas dan konkrit di bahagian aras bawahnya kini semakin menjadi salah satu tempat destinasi tarikan pelbagai pengunjung yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat tempatan bahkan juga mereka dari luar negara antaranya negara-negara ASEAN, China, Australia dan New Zealand.

    Saksikan keindahan alam

    Perjalanan menuju wasai dengan merentasi hutan yang terletak di Kampung Buda-Buda di bawah Mukim Bokok memakan masa hampir dua jam untuk naik dan turun bukit-bukau serta sangat meletihkan dan mencabar fizikal, lebih-lebih lagi dengan keadaan permukaan tanah yang berliku-liku.

    Begitulah cabaran-cabaran yang pasti ditempuhi oleh para pencinta alam semula jadi apabila berpeluang mendaki bukit untuk merasai salah sebuah wasai di Daerah Temburong yang dikenali dengan Wasai Batu Putih Buda-Buda.

    Selain itu, bagi penggemar haiwan-haiwan, Taman Mini Zoo, Batang Duri juga menawarkan pemanis mata dan fikiran dengan pelbagai spesies haiwan termasuk mamalia, reptilia, dan burung. Jalan-jalan sambil bersantai itu pastinya mampu menambahkan pengetahuan tentang haiwan-haiwan dengan adanya maklumat-maklumat tersedia di setiap tepi sangkar.

    Oleh yang demikian, tempat-tempat menarik juga mampu mendidik diri kita untuk lebih menghargai khazanah alam semula jadi dengan penuh kasih sayang demi sama-sama melestarikan kesejahteraan suasana yang selesa dan menenangkan di mana persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar di samping terus memperkasakan ekopelancongan domestik dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...