Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Ratusan pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke institusi-institusi pengajian di luar negara berpeluang untuk mendapatkan penerangan dan maklumat mengenai keperluan, suasana pembelajaran dan program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian berkenaan semasa Pameran Pendidikan Antarabangsa Findlay yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.
Semasa pameran itu, para pelajar bukan sahaja dapat bertemu dan berinteraksi dengan wakil-wakil dari 19 buah universiti dan kolej dari United Kingdom, Australia, Singapura dan Malaysia tetapi juga meneroka pilihan yang ada bagi mereka untuk melanjutkan pengajian.
Hadir pada pameran itu untuk bertemu dengan wakil-wakil dari universiti-universiti United Kingdom yang menyertai pameran ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Natalie Gowers-Barnes.
Turut hadir untuk memberikan sokongan kepada pendidikan dan universiti Australia di pameran itu ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Kanan Austrade, Josie Abdullah.
Pameran itu merupakan platform untuk mendapatkan maklumat bukan sahaja mengenai institusi pengajian tinggi yang menyertainya malah beberapa buah agensi dan organisasi yang turut mengambil bahagian dalam pameran itu seperti Unit Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Brunei Methanol Company dan Telekom Brunei Berhad (TelBru).
Pengarah Urusan Findlay, Sunita Martin berkata menerusi pameran berkenaan, pihaknya terus memberikan penekanan kepada moto mereka iaitu ‘Penyelesaian bagi Pendidikan, Pekerjaan dan Kecemerlangan.’
Beliau menambah pada masa ini, ia bukan sahaja mengenai pendidikan tetapi juga masa depan para pelajar di mana kerjaya dan kebolehpasaran mereka merupakan komponen penting perlu diberikan perhatian.
Beliau menekankan bahawa matlamat mereka adalah supaya para graduan akan dapat menyumbang ke arah pembangunan kapasiti negara.
