Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Bagi menambahkan ilmu pengetahuan mengenai sejarah Islam di Rusia untuk orang ramai di negara ini, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan ceramah awam yang mengetengahkan Timbalan Mufti Persekutuan Rusia, Rushan Abbyasov, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Turut hadir ialah dekan, pegawai-pegawai, ahli diplomat, wakil dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pada ceramah yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor UBD itu, Rushan Abbyasov antara lain menjelaskan, sejarah Islam di Rusia telah berusia lebih 1,000 tahun di mana Rusia juga merupakan rumah untuk 20 juta Muslim dari pelbagai latarbelakang etnik.
Bukan sahaja itu, beliau turut menjelaskan keunikan kewujudan, toleransi dan kerjasama dua agama iaitu Islam dan Kristian di Rusia.
Menurutnya lagi, terdapat beberapa buah sekolah Islam dan universiti yang diiktiraf yang membuktikan sistem pendidikan Islam klasik beransur pulih di mana Rusia juga merupakan salah satu pusat tradisional dalam pembelajaran akademik Islam yang membawa kepada jumlah besar akademik, kajian dan buku-buku teologi mengenai Islam yang diterbitkan.
Rushan Abbyasov juga merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Rusia (RMC) dan Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia selain itu, beliau juga pengarang buku ‘Arabic for Beginners’, monograf dan artikel.
Beliau juga mengetuai Jawatankuasa penganjuran Pertandingan Membaca Al-Quran Antarabangsa Moscow dan Pameran Halal Antarabangsa Moscow.
Rushan Abbyasov berserta rombongan akan meneruskan lawatan ke beberapa buah institusi pendidikan Islam di negara ini sepanjang berada di negara ini selama lima hari hingga 28 September.