Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Dengan matlamat bertukar-tukar pandangan dan meneroka trend yang membentuk landskap ekonomi dan kewangan global, Bank Baiduri menganjurkan acara tahunan, Baiduri Momentum Summit yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Sidang kemuncak berkenaan telah menyaksikan penyertaan daripada individu dan organisasi dari Brunei dan serantau termasuk ahli-ahli Kor Diplomatik, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan serta pakar kewangan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar.
Sidang kemuncak itu menyediakan sebuah platform unik bagi dialog kolaboratif bagi isu-isu yang memberi kesan kepada sektor kewangan tempatan dan serantau.
Dengan mengetengahkan tema, Is 2025 the tipping point for a strategic shift?, sidang kemuncak berkenaan menggalakkan para peserta untuk mempertimbangkan kuasa-kuasa utama seperti peralihan politik, perubahan makroekonomi, penggerakan tenaga hijau dan strategi pelaburan yang berubah, di mana ia akan mempengaruhi keputusan strategik yang diambil pada masa akan datang.
Acara itu menampilkan barisan penceramah terkenal termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi DBS Bank, Dr Taimur Baig; Pengurus Portfolio Kanan Nomura Asset Management, Vipin Kapoor; dan Pakar Ekonomi Pekeliling Asia Circular, Profesor Scott Valentine.
Para penceramah dan pemimpin industri berkongsi pandangan mereka mengenai trend kewangan yang akan datang serta memberikan perspektif untuk mengemudi kerumitan pasaran yang saling berkaitan hari ini.
Selepas pembentangan, para pembentang telah mengambil bahagian dalam perbincangan panel yang dikendalikan oleh Ketua Perbendaharaan Bank Baiduri, James Chua yang menjelaskan bagaimana politik, ekonomi dan perubahan teknologi boleh memacu peralihan strategik dalam ekosistem kewangan.
Perbincangan itu juga mengetengahkan keperluan menyesuaikan diri dan strategi bermaklumat untuk mengemudi landskap yang berkembang secara efektif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, “Tatkala kita menyambut tahun baharu 2025, kita berada pada saat penting di mana dunia dibentuk oleh peralihan transformatif.
“Daripada perubahan geopolitik kepada revolusi tenaga hijau dan pasaran global yang pesat berubah, kuasa yang dominan membentuk semula landskap pelaburan.
“Sidang kemuncak hari ini adalah mengenai perkongsian pandangan yang akan memperkasakan klien dan rakan kongsi mereka untuk menyesuaikan diri serta membuat keputusan bermaklumat dalam dunia yang saling berkaitan,” tambah beliau.
Acara tersebut mencerminkan komitmen Bank Baiduri untuk menyokong kliennya melalui persekitaran kewangan yang sering berubah. Dengan mewujudkan sebuah platform bagi dialog strategik dan pandangan pakar, Bank Baiduri membantu klien dan rakan kongsinya kekal maklum dan responsif kepada peralihan global yang memberi kesan kepada masa depan kewangan mereka.
Sidang kemuncak tahun ini adalah amat bermakna kerana ia merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 bank berkenaan.
Dengan memupuk dialog mengenai kedayatahanan kewangan dan pertumbuhan mampan, Bank Baiduri terus meletakkan dirinya sebagai pemimpin dalam sektor kewangan Brunei, berdedikasi kepada pembangunan ekonomi negara.