TUNIS, TUNISIA, 3 NOV – Satu serbuan anti-keganasan di Tunisia membongkar sebuah terowong yang sedang digali di kawasan sekitar kediaman duta Perancis dari sebuah rumah yang sering dikunjungi seorang pelampau terkenal, kata Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Kenyataan kementerian tidak menyatakan tujuan terowong dibina atau sama ada kediaman duta menjadi sasaran.
Ia berkata pegawai anti-keganasan dan pendakwa raya sedang menyiasat terowong tersebut.
Satu maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di rumah di La Marsa, pinggir bandar ibu negara Tunisia, Tunis, yang juga dihuni oleh duta Perancis, telah membawa pasukan perkhidmatan keselamatan ke rumah berkenaan, kata Kementerian Dalam Negeri.
Serbuan seterusnya mendedahkan terowong tersebut. Kenyataan kementerian tidak mengatakan jarak rumah itu dengan kediaman duta Perancis.
Seorang pelampau terkenal adalah antara individu yang mengunjungi rumah yang diserbu, kata kementerian. Ia tidak berkata sama ada terdapatnya penangkapan.
Kedutaan Perancis enggan memberikan komen. Jalan di luar kediaman duta kelihatan lengang pada pagi ini. – AP