Pelakon Riezman Khuzaimi terpaksa bergantung kepada penggunaan pendakap leher akibat penyakit slip disc yang dialami sejak April lalu.
Kata Riezman atau nama sebenarnya Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 53, dia mula mengesan penyakit tersebut apabila tiba-tiba terasa sakit di bahagian tengkuk ketika bangun untuk bersahur pada Ramadan lalu.
“Saya mula kena seminggu berpuasa. Nak bangun sahur tiba-tiba tangan sebelah kanan tak boleh gerak dan tak rasa apa-apa.
“Mulanya ingatkan sakit saraf dan pergi ke klinik. Kemudian saya lakukan pemeriksaan lanjut di hospital dan doktor sahkan saya mengalami masalah slip disc,” katanya kepada mStar.
Riezman ditemui ketika majlis sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kata aktor ini lagi, faktor yang menyumbang kepada berlaku masalah ini berkemungkinan akibat aktiviti hariannya yang selalu menghadap skrin komputer dan telefon pintar.
Riezman bagaimanapun dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembedahan kerana berisiko mengancam nyawanya.
“Mungkin disebabkan postur badan selalu menunduk menyebabkan berlakunya masalah ini. Kata doktor, ramai yang mengalami isu begini.
“Disebabkan sakit ini pada bahagian tengkuk, doktor tak nasihatkan untuk buat pembedahan. Kalau bedah keberangkalian sembuh 50-50… itu juga boleh mengancam nyawa.
“Jadi sekarang ini memang saya buat fisioterapi sahaja. Penyakit ini boleh sembuh tapi ia juga boleh datang kembali pada bila-bila masa,” jelasnya. – Agensi