Pelawak dan pelakon komedi, Man Raja Lawak, 44, terpaksa menghentikan bantuan kewangan kepada individu yang menghantar mesej meminta bantuan daripadanya di Instagram berikutan wang tabungannya semakin susut.
Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kasim ketika dihubungi berkata, dia juga lebih memberi fokus kepada keperluan keluarga termasuk membantu orang-orang memerlukan di sekeliling yang dikenalinya.
“Sebenarnya, sejak penularan COVID-19 tahun lalu hingga sekarang, setiap hari saya menerima lebih 30 mesej daripada individu tak dikenali di Instagram yang meminta bantuan.
“Jumlah wang diminta pula berbeza-beza dengan pelbagai masalah dihadapi mereka. Ada yang minta saya bayarkan sewa rumah sebanyak RM1,600. Jika saya tak boleh beri jumlah itu, RM600 pun tak mengapa dan dia minta wang dimasukkan dengan segera.
“Ramai juga yang minta RM50. Kalau tak dapat, RM10 pun tak mengapa. Dari pagi hingga malam, saya tak henti-henti menerima mesej Instagram daripada individu yang meminta bantuan kewangan,” katanya.
Man berkata, ada juga yang dia memohon maaf kerana tidak dapat membantu. Namun, tetap masih ramai yang terdesak dan terus mengirimkan mesej kepadanya.
Terdahulu, bagi menjelaskan situasi dirinya, Man berkongsi hantaran di Instagram dengan menulis, “meminta jangan sampai memaksa… memberi jangan sampai mengeji”.
Selain itu, dia turut menulis di Instagram Story, “Mohon maaf segala bantuan dah tutup. Mohon doakan saya ditambahkan rezeki agar dapat membantu lebih ramai lagi.”
Ketika pelaksanaan PKP yang pertama 18 Mac tahun lalu, Man tampil menghulurkan bantuan kepada orang ramai yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 menerusi wang RM50,000 dimenanginya ketika menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 bersama kumpulan Puteh. – Agensi
