Saya ingin berkongsi pengalaman mengenai seorang ‘kawan’ yang selalu meminjam wang tetapi jarang menepati janji untuk membayar semula.
Saya faham bahawa meminjamkan wang kepada orang lain boleh mendatangkan pahala kerana menolong mereka yang memerlukan.
Namun, pengalaman saya menunjukkan bahawa apabila pinjaman dilakukan secara berulang-ulang tanpa niat membayar, ia menjadi masalah yang seolah-olah tiada berkesudahan.
Sebagai pemberi pinjaman, saya sering berasa terpaksa ‘menabalkan muka’ untuk menagih kembali wang saya sendiri.
Tindakan menagih ini bukan sahaja memenatkan, malah menimbulkan rasa tidak selesa dalam hubungan persahabatan.

Situasi ini menjadi lebih membimbangkan apabila sikap suka meminjam berulang kali mula membentuk tabiat yang membebankan.
Saya menyeru masyarakat supaya bijak dalam memberi pinjaman, menetapkan batas yang jelas dan menegur individu yang mengambil kesempatan.
Kepada mereka yang suka meminjam, sedar-sedarlah bahawa amanah meminjam wang bukan sahaja soal material, tetapi juga soal kepercayaan dan tanggungjawab sosial.
Khalid
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Khalid atas perkongsian awda. Amatlah mendukacitakan sekali apabila wang yang dipinjam ‘kawan’, terasa amat berat apabila diminta dibayar semula.
Kadangkala kita dianggap ‘musuh’ apabila menyebut soal hutang di hadapannya.
Perasaan terpaksa ‘menagih’ sesuatu yang menjadi hak sendiri boleh membuatkan diri sendiri rasa terhina, malah mencemari hubungan persahabatan yang dulunya mungkin rapat.
Dalam hal ini, sudah tiba masanya untuk kamu tetapkan sempadan yang tegas, bukan kerana tidak mahu membantu, tetapi demi menjaga diri daripada terus dimanipulasi. Tidak salah untuk bersikap tegas demi melindungi hak sendiri.
Menolong itu mulia, tetapi biarlah bantuan itu disertai dengan kejujuran dan rasa hormat dari pihak yang menerima. Ingatlah bahawa, awda berhak untuk berkata tidak untuk kemudian kali, terutama jika ia melibatkan kepercayaan yang telah lama dikhianati.
Kepada para pembaca yang sedang berhutang, ingatlah pada jasa orang yang memberi hutang kepada kita dengan niat untuk membantu sahabat yang dalam kesusahan.
Segeralah melangsaikan hutang demi menghargai pertolongan dan menjaga persahabatan.







