Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terpaksa tahan sakit untuk penggambaran

    Pelakon, Aprena Manrose diuji detik cemas apabila tiba-tiba jatuh sakit hingga terpaksa dimasukkan ke hospital ketika menjalani penggambaran di Paris, Perancis, baru-baru ini.

    Aprena berkata, situasi itu cukup menguji, tambahan pula dia diserang sakit ketika hari pertama penggambaran pada 19 Ogos lalu.

    “Saya seperti diserang gastrik, termasuk mengalami pedih ulu hati, lalu bergegas ke hospital mendapatkan rawatan kerana tidak mahu melarat hingga menjejaskan jadual penggambaran. Pihak hospital bagaimanapun, meminta saya ke farmasi mendapatkan ubat. Namun, keadaan kesihatan saya semakin merosot pada hari kedua sehingga tidak dapat menjalani penggambaran. Mujur produksi memahami dan meneruskan babak membabitkan pelakon lain seperti Zara Zya serta Fadlan Hazim. Ada beberapa ubat yang saya cuba, tetapi sakit itu tetap berulang,” katanya.

    Aprena berkata, biarpun terpaksa bertarung melawan sakit, dia tetap kuatkan semangat untuk meneruskan penggambaran seperti biasa.

    “Saya paksa juga diri kerana tidak mahu menyusahkan produksi dan pelakon lain. Mujur pembantu pengarah mempercepatkan babak saya supaya saya dapat ke hospital semula membuat pemeriksaan. Saya hanya meminta diberikan suntikan tahan sakit, tetapi dimasukkan juga ke hospital selama enam jam untuk pemantauan. Melihat sakit sudah berkurangan, saya dibenarkan pulang. Tidak sangka ia berulang dan doktor menasihatkan saya membuat pemeriksaan lanjut. Saya bagaimanapun, memilih untuk bertahan kerana mahu mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur,” katanya yang kembali ke tanah air, semalam.

    Aprena yang bakal muncul dengan filem Showtime 1958 berada di Paris untuk menjalani penggambaran drama Alergi Mamat Romantik arahan Harris Fadzillah. – Agensi

    Aprena Manrose jatuh sakit ketika menjalani penggambaran. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda