Sering menjadi hero drama, Hafidz Roshdi teruja ditawarkan peluang membintangi filem buat kali pertama.
Berganding dengan Syafiq Kyle, Hafidz memegang watak anggota polis dalam filem seram berjudul Pusaka arahan Razaisyam Rashid.
“Selepas sering diberi watak romantik dan jejaka ‘sweet’ di televisyen (TV), peluang berlakon filem ini dianggap ruang untuk saya cuba mewarnakan watak lain. Saya mahu keluar dari zon selesa dan mencabar diri.
“Bukanlah saya sudah bosan dengan karakter lalu, cuma saya mahukan angin perubahan. Filem yang dilakonkan ini ada elemen seram, aksi dan agama,” katanya kepada BH Online.
Bagi memastikan karakter dibawa ‘hidup’, Hafidz merujuk kepada temannya iaitu pelakon dan pendakwah, Riz Ismail berhubung terjemahan beberapa ayat dalam Al-Quran.

“Saya anggap sudah jadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan terjemahan ayat yang betul dan perkara lain yang menyentuh agama dipaparkan dalam filem ini,” katanya.
Ditanya mengapa dirinya kurang mendapat publisiti, Hafidz ada alasan tersendiri.
“Saya mengaku kurang publisiti di majalah, akhbar atau portal. Bukan sebab saya sukar didekati, saya lebih selesa berkongsi hal membabitkan kerjaya berbanding peribadi atau kontroversi.
“Biarlah saya terus menjual bakat dan fokus dengan kerjaya seni. Kalau soal keluarga, saya tak suka terlalu memberi pendedahan. Namun, kalau kena dengan subjek atau topik berkaitan anak atau kekeluargaan, saya tak kisah berkongsi,” katanya.
Tambah Hafidz, sebelum ini, apabila dia berkongsi foto membina otot badan, dirinya pernah disalah erti.
“Ada yang anggap saya hendak menunjuk. Saya sebenarnya mahu beri motivasi dan inspirasi kita mampu mencapai apa yang dihajati,” katanya yang bahagia dengan rumah tangga dibina bersama isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri. – Agensi