Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tersalah pilih suami, apa yang perlu dilakukan?

    ALBERT Einstein, seorang ahli fizik terkenal dunia berkata: “Jangan salahkan graviti sekiranya anda jatuh cinta.”

    Maksud kata-kata ini ialah proses jatuh cinta itu adalah proses perasaan yang sama sekali tidak ada kena mengena dengan hukum fizik. Suatu masa dahulu, anda terfikir sudah berjumpa jodoh terbaik, tetapi setelah berumahtangga anda mungkin terfikir yang anda telah silap memilih suami.

    Suka duka

    Anda memang faham bahawa semua rumahtangga ada hari ceria dan hari duka masing-masing. Itu biasa, tetapi bagaimana jika dalam tujuh hari seminggu itu, enam setengah hari daripadanya anda berduka? Sudah tentu ada sesuatu yang tidak betul, bukan? Adakah anda telah mengahwini orang yang salah?

    Namun perkahwinan bukan seperti membeli kereta. Tidak suka, boleh jual dan beli kereta lain. Perkahwinan itu memang seperti memiliki kereta tetapi mungkin hanya itulah barangkali kereta yang kita miliki sepanjang hayat. Kereta itu memang bukan yang terbaik tetapi sudah ditakdirkan untuk kita. Kereta itu ada kekurangan dan kerosakan, tetapi tugas kita sebagai pemandu untuk membaikinya sepanjang perjalanan nanti. Maka sekiranya anda sudah semakin kerap berfikir yang anda telah mengahwini orang yang salah, maka artikel ini memang khas untuk anda.

    Tukar

    Kita mulakan dengan satu soalan. Katalah anda sudah tersilap memilih suami, maka adakah anda ada pilihan untuk menukarnya dengan suami yang baharu? Pasti kening anda terangkat sekarang bukan?

    Bagaimana anda perlu melakukan perubahan ini? Sekiranya cara lama tidak berjaya, maka anda perlu mencari cara baharu. Dalam banyak keadaan, anda perlu duduk berbincang bersama dengan suami. Inilah yang jarang dilakukan iaitu perubahan yang perlu dilakukan bersama. – Gambar hiasan
    Anda memang faham bahawa semua rumahtangga ada hari ceria dan hari duka masing-masing. Itu biasa, tetapi bagaimana jika dalam tujuh hari seminggu itu, enam setengah hari daripadanya anda berduka? Sudah tentu ada sesuatu yang tidak betul, bukan? Adakah anda telah mengahwini orang yang salah? – Gambar hiasan

    Menukar suami tidak sama seperti menukar baju yang boleh dilakukan hari-hari. Oleh itu, jika anda tidak boleh menukar suami yang lain, maka siapakah yang akan membetulkannya?

    Perkahwinan yang bermasalah bermakna perkahwinan itu memerlukan perubahan. Kadangkala kita sentiasa berfikir bahawa suami yang perlu berubah tetapi bukan diri kita. Sudah tentu keadaan terbaik ialah apabila suami dan isteri itu berlapang hati untuk mengakui kelemahan masing-masing dan seterusnya berubah ke arah lebih baik. Namun satu-satunya manusia yang anda boleh arahkan untuk berubah ialah diri anda sendiri dan bukan orang lain.

    Perubahan

    Setiap apa yang kita lakukan adalah bertunjangkan kepada ‘kenapa’ ia dilakukan. Apakah sebabnya anda perlu berubah atau apakah risikonya jika perubahan itu tidak dilakukan? Sebagai seorang isteri dan mungkin juga sebagai ibu, maka kebahagiaan keluarga dan anak-anak barangkali menjadi sebab paling utama kenapa perubahan itu perlu dilakukan. Sebagai besar sebab dan kenapa perubahan itu mesti dilakukan, masa semakin kuat dorongan anda untuk berubah.

    Setelah anda tahu siapa dan kenapa perubahan itu perlu dilakukan, maka sekarang sampai ke bahagian paling penting. Apa perubahan yang perlu dibuat? Untuk mendapatkan jawapan, anda boleh cuba bertanyakan soalan-soalan ini:

    -Apa yang anda mahu?

    -Apa yang tidak ada dalam rumahtanggan anda?

    -Apa yang dahulu ada tetapi sudah hilang dalam perkahwinan anda?

    Dengan bertanya soalan-soalan itu, minda akan lebih terpandu untuk mencari jawapan yang anda perlukan. Seterusnya jawapan itu akan membawa anda kepada soalan-soalan seterusnya sehinggalah anda lebih jelas tentang situasi yang sedang dialami sekarang.

    Bagaimana pula anda perlu melakukan perubahan itu? Sekiranya cara lama tidak berjaya, maka anda perlu mencari cara baharu. Dalam banyak keadaan, anda perlu duduk berbincang bersama dengan suami. Inilah yang jarang dilakukan iaitu perubahan yang perlu dilakukan bersama. Mungkin pada mulanya terasa susah dan sukar, tetapi jika anda benar-benar serius, maka carilah jalan untuk melakukannya.

    Yang terakhir sekali ialah bila anda mahu melakukan perubahan ini? Esok, lusa, minggu depan atau bila? Sekiranya rumah tangga anda memang sudah bermasalah, maka tidak ada masa lain yang lebih baik kecuali masanya ialah sekarang! Jangan fikir akan ada masa lain yang lebih sesuai. Dalam perkahwinan yang bermasalah, setiap saat adalah berharga. Jangan tunggu sehingga lafaz cerai sudah diucapkan. Ketika itu segalanya sudah terlambat. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda