Sunday, July 27, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tersalah Smash A juara kejohanan badminton

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 22 JUN – Pasukan Tersalah Smash A dari Bahagian Pentadbiran, Keugamaan dan Makmal muncul juara Kejohanan Badminton Bahagian-bahagian di bawah perkhidmatan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Daerah Tutong, Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

    Acara yang dianjurkan oleh Hospital PMMPMHAMB itu berlangsung di Dewan Mahad Islam Brunei, Daerah Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah di akhir acara ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub.

    Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB Daerah Tutong, Awang Abdul Afiq bin Ahmad Mahmud; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan sesi pengenalan bersama para pasukan finalis diikuti dengan perlawanan peringkat akhir. Sebanyak 13 pasukan telah menyertai pertandingan itu yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan bahagian-bahagian di bawah Hospital PMMPMHAMB, Daerah Tutong.

    Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bergambar ramai dengan pemenang pada kejohanan itu. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bergambar ramai dengan juara pada kejohanan tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    ATAS & BAWAH: Antara aksi para pasukan yang bersaing pada kejohanan berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah-hadiah kepada dua pasukan teratas kejohanan itu. Naib juara telah disandang oleh Pasukan Mambang 1 dari Pusat Kesihatan Tutong.

    Kejohanan itu diadakan bertujuan untuk menggalakkan warga pegawai dan kakitangan hospital tersebut untuk terus bergiat cergas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan serta diharap akan meningkatkan persefahaman dan kerjasama secara berpasukan dalam kalangan warga berkenaan.

    Di samping itu, kejohanan tersebut juga sebagai usaha berterusan dalam menyahut dan menyokong visi Kementerian Kesihatan iaitu Bersama ke Arah Warga Sihat di samping mengeratkan silaturahim antara warga hospital.

    Menerusi kejohanan itu, ia juga sebagai platform untuk mencari bakat baharu bagi mewakili Hospital PMMPMHAMB, Daerah Tutong, pada kejohanan badminton anjuran Kementerian Kesihatan akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda