Ulasan buku oleh Raz AS
DARIPADA siri terkenal In Death karya penulis, J. D. Robb, yang telah mendapat kedudukan nombor satu dalam carta New York Times Best Seller, Leftenan Eve Dallas telah tersepit di antara percintaan dan kebencian.
Eve Dallas telah banyak menyelesaikan kes-kes pembunuhan berprofil tinggi bagi NYPSD dan mendapat perhatian media. Eve bersama suaminya yang juga seorang jutawan telah terbiasa menjadi perhatian ramai, bahan gossip dan juga spekulasi.
Tetapi sekarang Eve telah mendapat perhatian seseorang. Seseorang yang mendapati Eve sebagai sangat istimewa dan memikirkan dirinya setiap masa. Seseorang yang percaya bahawa mereka berdua mempunyai pertalian yang istimewa. Seseorang yang sanggup membunuh berkali-kali demi Eve. Seorang peguam bela yang telah berhadapan dengan Eve di dalam mahkamah telah menjadi mangsa pertamanya, namun dia bukanlah yang terakhir.
Mesej-mesej yang ditinggalkan pembunuh di tapak kejadian dan ditujukan kepada Eve mampu meremangkan bulu roma leftenan itu. Kes yang dikendalikan leftenan itu kali ini bukan sekadar tugasan tetapi bersifat peribadi, Eve enggan menyerahkan tugasannya kepada sesiapa.
Dengan pembunuh yang sangat mengenali tindak-tanduk Eve, tugasan untuk menyelesaikan kes kali ini adalah sangat rumit dan berbahaya.

Eve mengetahui bahawa di sebalik pemujaan dan perasaan kagum terhadap dirinya oleh si pembunuh itu lambat laun bahaya tentu akan datang menjenguknya. Bagi si leftenan yang cantik itu, semua korban berdarah daripada pemujanya atas dasar persahabatan yang setia itu sangat tidak dihargainya. Dan suatu masa nanti dia mungkin akan menjadi mangsa seterusnya bila-bila masa.
Demikian adalah serba sedikit sinopsis mengenai novel Obsession in Death yang merupakan siri ke-40 bagi siri thriller penyiasatan, In Death. Protagonis utama, Eve kini berhadapan dengan musuh yang sangat berbahaya.
Seorang pemuja rahsia kejam dan psikotik yang sanggup membunuh sesiapa sahaja yang berbuat salah atau melukai perasaan Eve, dan perbuatannya itu dianggapnya sebagai menghulurkan bantuan.
Namun bila-bila sahaja si pemuja boleh berpaling tadah dan membahayakan nyawa orang yang dipujanya.
Buku ini telah ditulis dengan baik sekali, perjalanan dan perkembangan cerita misteri disusun dengan baik. Justeru ia mampu memberikan teka-teki kepada pembaca dan penuh dengan unsur ketegangan yang pasti akan membuatkan pembaca yang meminati novel-novel penyiasatan berdebar-debar.
Meskipun novel ini adalah siri ke-40 bagi sirinya, namun pembaca tidak perlu risau kerana setiap siri berupaya menjadi sebuah buku yang mampu berdiri sendiri, jadi pembaca boleh sahaja memulakan pembacaan siri ini sesuka hati anda. Meskipun kadang-kadang disebutkan di dalamnya kes-kes yang terdahulu namun ia tidak akan menghilangkan keseronokan pembaca untuk membaca novel ini walaupun belum pernah membaca siri-siri sebelumnya.