THE HAGUE, 27 JULAI — Seorang lelaki di Belanda membenarkan anak perempuannya berusia 11 tahun memandu keretanya sebelum kanak-kanak itu merempuh sebuah rumah akibat tersilap menekan pedal minyak, lapor media tempatan kelmarin.
Kejadian berlaku di Hengelo, timur Belanda dan menurut akhbar Tubantia, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden membabitkan penghuni rumah mahupun yang berada di dalam kenderaan tersebut.
Rakaman video yang disiarkan menunjukkan sebuah kereta telah melanggar pintu kaca dan dinding rumah tersebut sehingga menyebabkan ‘kerosakan yang ketara’.
Ibu kepada kanak-kanak tersebut bersama seorang anak damit turut berada di tempat duduk penumpang belakang ketika kejadian dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa kanak-kanak itu mengesahkan kepada Tubantia, anaknya memang memandu kenderaan tersebut ketika insiden berlaku. Menurut laporan, kanak-kanak itu pada mulanya meminta untuk memandu dalam jarak dekat.
Namun, ketika melalui satu selekoh, si ayah menyuruh anaknya membrek, tetapi dia tersilap menekan pedal minyak lalu merempuh rumah berkenaan. – AFP
