Monday, July 14, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tersusun, sistematik

    SESETENGAH orang memerlukan ruang penstoran yang agak besar untuk menyimpan pakaian dan aksesori.

    Ini bagi memastikan pakaian yang disimpan sentiasa dalam keadaan yang tersusun rapi, bersistem, mudah dicari, tidak berkedut-kedut andai telah siap digosok dan macam-macam lagi.

    Jadi bukan satu yang membazir sekiranya anda mampu ataupun mempunyai bilik yang banyak, sediakan sahaja sebuah bilik khas untuk menyimpan pakaian dan aksesori anda. Tidak perlu bilik yang besar sebaliknya bilik yang kecil sudah memadai.

    Anda boleh menata hias bilik ini dengan kelengkapan yang sempurna sesuai untuk dijadikan bilik pakaian anda.

    Bagi menghias bilik pakaian khas ini, adalah lebih sesuai memilih almari dan kabinet yang ditempah kerana ia dapat mengikut cita rasa sendiri dan jenis yang bina dalam ini biasanya dibina rapat ke dinding dan tidak perlu sebarang hiasan yang sarat, berbanding dengan almari yang sedia dijual di pasaran yang terhad pada bentuk yang ada dan bukan yang dimahukan.

    Bukan itu sahaja, sebaiknya bilik ini juga sentiasa dalam keadaan yang kering agar pakaian yang disimpan tidak berkulat ataupun dalam keadaan bau yang kurang menyenangkan.

    Satu lagi yang harus anda ambil perhatian ialah pastikan ruang ini punya pencahayaan yang baik agar memudahkan anda mencari serta memilih pakaian yang bersesuaian.

    Atas sebab itu, anda juga perlu ikuti cara menguruskan almari pakaian agar sentiasa kemas dan tersusun agar tidak menyusahkan anda untuk memilih pakaian yang dimahukan.

    Contohnya, seperti menggunakan penyangkut pakaian yang sama dari segi warna, jenis, bentuk dan susunan kepalanya agar ia kelihatan seragam dan sedap mata memandang.

    Demi memastikan almari kelihatan lebih tersusun, pastikan semua pakaian, tag, saiz, butang mahupun leher kolar pakaian anda menghadap arah yang sama. Ia juga akan memudahkan anda untuk memilih dan mencapai pakaian yang ingin dipakai setiap hari.

    Cipta satu kaedah yang boleh memudahkan anda untuk melihat pilihan warna pakaian yang anda miliki. Cara ini juga dapat mempercepatkan proses campur dan padan dalam memilih konsep pakaian harian.

    Aksesori seperti tali pinggang, tas tangan, tali leher dan sebagainya hendaklah diasingkan di satu ruang mengikut kategori dan mudah untuk dijumpai. Gantung tali pinggang pada cangkuk dan susun tas tangan pada rak asing. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda