Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Keunikan serta keindahan flora dan fauna khazanah alam semula jadi Negara Brunei Darussalam menjadi tumpuan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Dr Jose Ramos-Horta semasa aktiviti riadah pagi di Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi, Temburong, hari ini.
Ketibaan TYT Dr Jose Ramos-Horta di taman rekreasi tersebut dialu-alukan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut sama semasa aktiviti riadah berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring.
Pada majlis berkenaan, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim. TYT Dr Jose Ramos-Horta sebelum memulakan aktiviti riadah telah menandatangani buku pelawat dan sesi bergambar ramai.
Semasa aktiviti riadah itu, Tuan Yang Terutama diberikan penerangan dan mengenali dengan lebih dekat flora serta fauna unik yang terdapat di taman rekreasi berkenaan.