(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Tertib melakukan rukun-rukun sembahyang termasuk dalam rukun sembahyang.
Meninggalkannya dengan senghaja akan mengakibatkan sembahyang seseorang menjadi batal seperti senghaja meninggalkan perbuatan ruku‘ atau meninggalkan perbuatan sujud atau meninggalkan perbuatan berdiri. Jika seseorang itu tidak senghaja meninggalkan tertib, namun apabila tersedar dia tetap saja meneruskan sembahyangnya, maka batal sembahyangnya.
Rukun-rukun sembahyang ada 13 perkara, dan terbahagi kepada 3 bahagian iaitu rukun qalbi (hati), rukun qauli (perkataan) dan rukun fi‘li (perbuatan). 12 rukun ini hendaklah dilakukan dengan tertib sebagaimana berikut:
1. Niat (rukun qalbi)
2. Takbiratulihram (rukun qauli)
3. Berdiri (rukun fi‘li)
4. Membaca al-Fatihah (rukun qauli)
5. Ruku‘ dengan thuma’ninah (rukun fi‘li)
6. I‘tidal dengan thuma’ninah (rukun fi‘li)
7. Sujud dengan thuma’ninah (rukun fi‘li)
8. Duduk antara dua sujud dengan thuma’ninah (rukun fi‘li)
9. Duduk yang diikuti oleh salam (rukun fi‘li)
10. Tasyahhud (rukun qauli)
11. Shalawat (rukun qauli)
12. Salam yang pertama (rukun qauli)
13. Tertib (rukun fi‘li).
MENDAHULUKAN RUKUN DARI RUKUN YANG LAIN
Jika seseorang mendahulukan rukun fi‘li seperti melakukan sujud sebelum ruku‘ atau melakukan ruku‘ sebelum membaca surah al-Fatihah dengan senghaja, maka sembahyangnya itu batal kerana dia mempermain-mainkan rukun sembahyang.
Jika seseorang itu pula mendahulukan rukun qauli selain salam seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud terakhir, sembahyangnya itu tidak batal namun bacaannya itu tidak dikira kerana dia membaca bukan pada tempat yang sepatutnya dan hendaklah dia mengulang semula bacaan tasyahhud yang didahulukannya itu pada tempatnya.
Begitu juga jika dia mendahulukan rukun qauli daripada rukun qauli yang lain seperti mendahulukan shalawat sebelum membaca tasyahhud, tidak batal sembahyangnya tapi hendaklah diulang semula bacaan shalawatnya itu.
TERINGAT RUKUN YANG TERTINGGAL SEBELUM SAMPAI PADA RUKUN YANG SAMA PADA RAKA‘AT BERIKUTNYA
Apabila seseorang itu terlupa melakukan rukun sembahyang, kemudian teringat rukun yang tertinggal itu sebelum sampai pada rukun yang sama pada raka‘at yang berikutnya, maka hendaklah dia melakukan rukun yang tertinggal itu dengan segera dan segala perbuatan dan bacaan sembahyang yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal itu adalah tidak dikira. Jika dia melambat-lambatkan atau diam walaupun dalam waktu singkat untuk mengingati apa yang tertinggal, maka batal sembahyangnya.


