Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tertipu tawaran kerja

    5 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 3 April 2012 – Kegembiraan mendapat tawaran kerja bergaji hari di Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan bertukar sedih dan hampa kerana jawatan yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud langsung.

    Inilah yang dialami oleh kira-kira 300 pencari kerja yang menjadi mangsa satu penipuan yang mengeluarkan surat tawaran kerja palsu kepada mereka.

    Lebih menyedihkan lagi, kira-kira separuh daripada mereka telah membayar $300 kepada pihak yang tidak bertanggungjawab, kononnya sebagai bayaran pendahuluan sebelum diberikan jawatan di jabatan berkenaan.

    Ketika mereka telah hadir untuk melaporkan diri di Jabatan Bandaran BSB di sini, tetapi hampa setelah mengetahui mereka telah ditipu.

    Menurut Dayang Aisah (bukan nama sebenar) dan beberapa orang mangsa penipuan tawaran kerja di Jabatan Bandaran ketika ditemu bual di bangunan Jabatan Bandaran BSB, pada mulanya mereka langsung tidak menyangka surat berkenaan adalah palsu, kerana ia mempunyai lambang panji-panji Negara Brunei Darussalam yang menyerupai kepala surat rasmi kerajaan.

    “Bagaimanapun, setelah tepat pada hari bulan yang ditetapkan untuk temu duga, ternyata surat berkenaan adalah palsu, dan kami merasa tertipu. Apa yang mengejutkan kami lagi, bahawa jabatan berkenaan pada masa ini masih belum ada kekosongan di mana-mana seksyen sekalipun.

    “Kami diberitahu, jika pun ada kekosongan, pihak jabatan akan mengumumkannya melalui Pelita Brunei dan pemohon hendaklah menghadapkan permohonan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” jelas salah seorang mangsa.

    Di dalam surat tawaran palsu itu yang bertarikh 21 Mac 2012 memaklumkan bahawa Awang Mark Lee (bukan nama sebenar) telah ditawarkan dan dilantik untuk menjawat jawatan bergaji hari.

    Surat palsu itu juga menyatakan ciri-ciri jawatan seperti tangga gaji, cuti tahunan, elaun perjalanan dan banyak lagi.

    Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Bandaran BSB memaklumkan dan menasihatkan orang ramai supaya berhari-hati terhadap satu aktiviti penipuan yang menggunakan nama jabatan berkenaan.

    Jabatan Bandaran melalui satu taklimat mengejut yang diadakan memberitahu, pihaknya akan melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa, agar mengesan dan mencari si penipu.

    Menurut sumber, salah seorang daripada mangsa pernah berhubung dengan orang tengah yang menyamar sebagai pegawai di jabatan berkenaan.

    Katanya, individu tidak bertanggungjawab tersebut akan meminta sejumlah wang sebagai ganjaran kepada tawaran kerja di jabatan berkenaan selepas memajukan surat tawaran palsu itu kepada mereka.

    Dalam pada itu, Jabatan Bandaran menjelaskan bahawa pihak jabatan melalui pegawai-pegawainya sama sekali tidak dibenarkan meminta atau menerima sebarang pembayaran daripada pemohon kerana proses permohonan kerja di Jabatan Bandaran BSB tidak membabitkan sebarang bayaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda