Berkongsi kegembiraan bakal menimang cahaya mata lelaki, Oktober depan, Alif Satar menjelaskan sudah lama dia menyimpan berita baik itu daripada pengetahuan umum.
Dikurniakan dua cahaya mata perempuan, sebelum ini, penyanyi, pelakon dan pengacara itu berharap kehadiran anak damit lelaki berkenaan bakal menyerikan lagi keluarga kecilnya bersama isteri, Sha Dila. Selain keluarga, dua anak perempuannya, Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2, turut teruja menanti kelahiran adik mereka.
Memberi bayangan huruf A sebagai pangkal nama cahaya mata ketiganya, Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd Satar, 29, berharap orang ramai mendoakan proses kelahiran isterinya berjalan lancar dan dipermudahkan.
“Sama seperti dua kakaknya, saya dan isteri memilih untuk memberi nama bermula dengan huruf A buat anak lelaki kami yang bakal lahir, tidak lama lagi. Ada beberapa nama yang masih dipertimbangkan oleh kami berdua saat ini.
“Saya percaya, nama indah yang membawa maksud baik-baik bakal membentuk peribadi seseorang individu itu. Jadi, saya enggan terburu-buru untuk memilih nama bagi bakal anak. InsyaAllah, tiba masanya ia akan dikongsikan bersama umum,” kata Alif. – Agensi
