Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Dengan hanya tinggal kurang seminggu sebelum bermulanya sesi musim persekolahan penggal pertama bagi 2025, kedai-kedai buku menjadi tumpuan ibu bapa bagi membeli buku-buku dan peralatan persekolahan anak-anak mereka.
Sementara itu, dalam kesibukan membuat persiapan persekolahan, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) hari ini meneruskan lagi projek ‘Kembali Ke Sekolah’ dengan memberi peluang kepada 10 orang anak klien MKM dari Daerah Brunei dan Muara dan juga Daerah Temburong berbelanja barangan persiapan persekolahan mereka di Bismi, cawangan Serusop, hari ini.
Perasaan gembira jelas terpancar di wajah setiap kanak-kanak klien MKM apabila diberi peluang untuk berbelanja barangan persekolahan mengikut pilihan dan keinginan mereka.
Semasa temu bual media dengan beberapa anak klien MKM, Awang Muhd Muizzatdin bin Mohd Madani, 12, Awang Abdul Halim bin Reduan, 14, masing-masing mengongsikan perasaan gembira apabila menerima sumbangan daripada orang ramai melalui MKM untuk anak-anak dari golongan yang kurang berkemampuan.
Manakala Awang Abdul Halim melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima, dan ianya sedikit sebanyak meringankan beban ibu dalam membuat persiapan persekolahannya dan dua adik-beradik yang lain.
Dayang Siti Norain binti Awang Abdul Karim, ibu kepada enam orang anak yang berasal dari Kampung Rimba turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan oleh MKM.
Turut hadir ahli-ahli Jawatankuasa MKM, Dayang Zubaidah binti Dato Haji Abu Zar, Dayang Siti Razidah binti Mohamad, Hajah Zaiton binti Abu Salim dan Dayang Siti Maryam Nadhriah binti Mohamad Kassim.