Oleh Salawati Haji Yahya Dan Nurdiyanah R. –
TUTONG, 23 JULAI – Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Daerah Tutong, hari ini, memberikan seribu kenangan indah buat rakyat dan penduduk di daerah ini, apabila berpeluang menyembahkan ucapan Selamat Hari Keputeraan kehadapan majlis Baginda Sultan secara bersemuka.
Walaupun keadaan cuaca sedikit panas, pihak media berpeluang menemu bual beberapa pengunjung yang membanjiri kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Awang Mohd Yusof bin Abdullah, 74, berasal dari Kampung Rambai melahirkan rasa syukur sekali lagi berpeluang untuk menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah dengan Baginda Sultan.
Beliau yang datang ke majlis ini ditemani oleh anak saudara dan juga kawan sudah berada di sana sejak pukul 7:30 pagi lagi dan seterusnya berkongsi perasaan teruja untuk bertemu dengan Baginda Sultan bagi menyembahkan ucapan Selamat Hari Keputeraan ke-78 kehadapan majlis Baginda Sultan.
Manakala temu bual dengan Haji Mohammad Syafien Yandol dari Kampung Padnunok yang tampil kacak dengan mengenakan pakaian Pagrisu pula berkongsi tradisi bagi masyarakat Sang Jati Dusun di daerah ini.
Menurutnya, kumpulan dari Bukit Long Mayan, Tutong telah menyembahkan persembahan gendang Ancayau kehadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja.
Gendang Ancayau itu, katanya, adalah tarian bagi mengalu-alukan pahlawan Dusun yang sudah balik membawa kemenangan dan kepulangan mereka disambut dengan pukulan gendang ini.
Selain itu, beliau turut mengongsikan peralatan gendang ini diperbuat daripada pokok sandaman yang memiliki kayu yang lembut dan mudah untuk mencari nada atau bunyi yang dikehendaki.
“Kami membawakan gendang ini ke acara sebegini untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai terutama sekali generasi muda di daerah ini,” tambahnya.
Beliau turut mengongsikan bahawa sambutan terhadap gendang ini telah mendapat respons yang baik daripada golongan generasi muda dan pada masa ini juga tertubuhnya kumpulan gendang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
“Selain itu, kumpulan-kumpulan ini juga telah menerima undangan dalam majlis-majlis keramaian dan ia merupakan peluang untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai akan warisan yang masih sahaja dikekalkan oleh masyarakat Sang Jati Dusun di daerah ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Media Permata turut berpeluang menemui sekumpulan pelatih dari Taiwan yang kini bekerja dengan Golden Corporation yang terlihat sejak awal pagi lagi turut tidak mahu melepaskan peluang keemasan mereka untuk bersalaman dengan Baginda Sultan serta kerabat diraja.
Lima warga Taiwan berkenaan terdiri daripada Chiu Cheng Ming, Yang Yu Lin, Wang Juan Wei, Kuo Mei Hui, Jian Yin Zhen dan Chou Pei Ting turut berkongsi pada 15 Julai lalu, mereka telah menyaksikan suasana Istiadat Barisan Kehormatan bersempena Memperingati Hari Keputeraan Baginda ke-78 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
“Kami berada di sini selama dua bulan dan kami ingin mengambil peluang keemasan ini untuk bertemu dan bersalaman dengan Baginda Sultan dalam majlis keramaian sebegini.
Kami tiba di sini pada pukul 7:30 pagi dan tidak lupa juga diucapkan terima kasih kepada Golden Corporation kerana menyediakan pengangkutan untuk kami ke sini,” ujar mereka dengan penuh keceriaan.
Berkongsi lanjut, mereka sebenarnya pelajar-pelajar dari sekolah dan universiti di Taiwan dan ini kali pertama mereka berada di Brunei.
“Kami merasakan Brunei adalah sebuah negara aman dan mesra. Kami sukakan Kampong Ayer dan semasa lawatan itu, kami berjaya melihat beberapa ekor monyet yang unik di sana,” jelas mereka.
Mereka turut meluahkan keterujaan melihat suasana yang penuh warna-warni dan memperlihatkan keunikan budaya negara ini. Selain berpeluang mengunjungi tempat-tempat menarik dan bersejarah di negara ini, mereka juga berpeluang mencuba makanan tradisional Brunei.
“Pastinya di mana pun kami berada, kami akan mengambil gambar menarik untuk dijadikan kenang-kenangan dan akan dikongsikan dengan keluarga dan juga rakan-rakan di Taiwan,” ujar mereka lagi di akhir pertemuan sebelum merakamkan bergambar ramai bersama para pengamal media dari Brunei Press Sdn Bhd yang bertugas pada majlis ramah mesra tersebut.