Oleh Lenna N.B.
22 Oktober 2017 merupakan satu lagi sejarah terakam dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Bandar Seri Begawan bagi menyaksikan acara Perarakan Kereta-kereta dan Basikal-basikal Berhias serta perasmian Taman Eko Koridor yang kini dikenali sebagai Taman Mahkota Jubli Emas. Ianya adalah bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Sebanyak 37 kereta-kereta berhias dan 10 basikal-basikal berhias berarak, menyerikan lagi suasana jalan-jalan di Bandar Seri Begawan. Ribuan rakyat berkumpul di ibu negara bagi menyaksikan detik-detik bersejarah itu sambil merakamkan suatu peristiwa yang sungguh istimewa.
Justeru itu, Media Permata tidak melepaskan peluang menemuramah antara mereka yang terlibat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Saksikan perkongsian mereka, yang menjadi saksi di ibu negara pada pagi kelmarin.

“Mewakili Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, kami rasa berbangga dapat ikut serta dalam acara kereta berhias ini, kerana acara sebegini hanya kita dapat saksikan selepas puluhan tahun. Ia adalah acara yang sungguh istimewa kerana kita sama-sama melihat sejarah terukir pada tahun ini. Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas ini, kami mengucapkan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal qarar memerintah bumi tercinta Brunei Darussalam di bawah payung Islam dalam mencapai ke arah negara zikir.’

“Hari ini adalah suatu pengalaman yang sungguh bererti bagi saya, yang berusia dalam 80 tahun ini. Bagi saya, inilah peluang kami berkesempatan menikmati detik-detik sejarah terutamanya menyaksikan Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan 50 tahun Menaiki Takhta. Saya dan isteri sudah tiba di sini seawal jam 4 pagi, berkobar-kobar ingin bersua wajah dan bersalaman dengan pemimpin kita yang dikasihi, sultan yang prihatin dan berjiwa rakyat. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberi keberkatan dan kerahmatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kekal qarar memerintah negara, menjadi raja yang adil dan saksama, serta Brunei Darussalam terus aman damai dan harmoni.”

“Kira-kira seramai 30 orang ahli turun pada pagi ini untuk merakamkan detik-detik acara yang sedang berlangsung, terutamanya acara paling besar, iaitu perasmian Taman Eko Koridor yang bakal menjadi peristiwa sejarah bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan menaiki takhta, di samping sesi Junjung Ziarah bersama rakyat. Menyaksikan ribuan rakyat dan penduduk berada di ibu negara ini jelas menunjukkan betapa kita semua tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir ke acara pada pagi ini, dan sekaligus menzahirkan rasa cinta dan taat setia rakyat kepada pemimpin. Kami wakil daripada Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam ingin mengucapkan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa sihat, kekal qarar memerintah negara dengan falsafah Melayu Islam Beraja.”

“Saya dan keluarga sudah tiba di ibu negara jam 3:30 pagi, merasa teruja untuk menyaksikan acara pagi ini terutamanya perarakan kereta-kereta dan basikal-basikal berhias. Seingat saya, kali terakhir menyaksikan kenderaan berhias ini adalah puluhan tahun lalu, ketika saya masih muda. Jadi hari ini memang istimewa buat kami. Saya dan keluarga sentiasa mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh adil dan saksama, di bawah keberkatan Allah Subhanahu Wata’ala.”

“Hari ini adalah acara yang julung-julung kali diadakan, yang mungkin kita tidak berpeluang menyaksikannya di masa akan datang. Justeru itu, saya membawa keluarga dan rakan-rakan anak saya, untuk tidak melepaskan detik sejarah ini bersama. Berada di sini dan melihat secara langsung melalui televisyen adalah tidak sama, kerana detik sejarah itu lebih bererti ketika kita menikmati di tempat yang sebenarnya. Hari ini adalah sejarah untuk negara, sejarah untuk rakyat dan sejarah untuk kami sekeluarga. Antara acara-acara yang ingin kami saksikan pada pagi ini adalah perasmian Taman Eko-Koridor, perarakan kenderaan berhias, acara-acara sungai, dan juga mungkin, kami berpeluang berjunjung ziarah bersama Baginda nanti. Saya dan keluarga rasa sangat bersyukur dapat menikmati pemerintahan Baginda Sultan sepanjang 50 tahun ini. Baginda adalah pemimpin yang sangat prihatin, penyayang dan berjiwa rakyat.”

“Sangat bersyukur sebenarnya kerana dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Tambahan pula, menyertai sendiri acara perarakan kenderaan berhias pada pagi ini, adalah umpama hadiah untuk menzahirkan penghargaan kepada Baginda Sultan atas bakti Baginda kepada rakyat yang tidak mampu kami ungkapkan atau balas sampai bila-bila pun. Syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memanjangkan usia pemimpin kita yang dikasihi, hingga mencapai 50 tahun pemerintahan Baginda. Menjunjung kasih Kebawah Duli Tuan Patik, kerana banyak perkembangan yang kami saksikan selama di bawah pimpinan Baginda. Pembangunan kian maju, ekonomi terus berkembang, kebajikan rakyat dijaga, pendidikan tetap terus maju ke hadapan. Mewakili Perbadanan TAIB, doa kami semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal sihat dan panjang umur, kekal qarar memerintah negara.”

“Kami berbangga dapat ikut serta dalam acara perarakan kereta-kereta dan basikal-basikal berhias ini, sekaligus menunjukkan rasa bersyukurnya kami di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta Kerajaan Brunei yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami, Ya Nur Trading Company Sdn Bhd. Visi kami adalah sama-sama ingin menjayakan Wawasan Brunei 2035 sebagaimana dihasratkan oleh Baginda. Ucapan semoga Baginda terus kekal qarar di atas takhta singgahsana Darussalam. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!”

“Perasaan saya amat berbangga kerana berkesempatan turut serta menyaksikan Taman Eko Koridor dirasmikan. Seperti yang kita ketahui, taman ini merupakan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai ibu negara dalam taman. Saya setentunya rasa bersyukur berpeluang menikmati kecantikan bandar kita ini, menghidupkan kembali suasana ibu negara, dan pada masa yang sama mendorong kehidupan yang sihat, ceria dan bersih. Hari ini juga, saya menyaksikan bagaimana seluruh rakyat empat daerah berkumpul di ibu negara demi merakamkan detik-detik sejarah pada pagi ini, disamping menantikan detik Junjung Ziarah, bersua dengan pemimpin yang dikasihi. Bukan itu sahaja, tetapi juga seluruh bangsa penduduk yang berkerja dan bermastautin di sini turut sama menyaksikan peristiwa bersejarah ini. Saya Awang Rasli bin Taram, selaku rakyat, mendoakan semoga Baginda Sultan diberikan kesihatan, keberkatan dan kekal qarar memerintah Brunei Darussalam.”

“Mewakili peniaga-peniaga Sumbangsih Mulia, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas bakti Baginda yang tidak terbalas untuk seluruh rakyat, penduduk dan bumi Darussalam ini. Sesungguhnya kami rasa bertuah berada di sini dan berpeluang menyembahkan pesambah kain tenunan hasil seni anak peribumi khas untuk Baginda. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik, semoga dipanjangkan usia dan diberikan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.”