Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruja kembali ke sekolah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 3 JAN – Perasaan gembira dan teruja bercampur gemuruh jelas terpancar di wajah murid-murid serta ibu bapa dan penjaga mereka semasa tinjauan hari pertama pembukaan sesi persekolahan di salah sebuah sekolah rendah di daerah ini.

    Salah seorang murid di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Awang Muhammad Athmar Awwadi bin Jofray yang menuntut dalam Tahun 6  melahirkan perasaan gembira apabila dapat kembali ke sekolah dan berjumpa kawan-kawan seperti sebelumnya.

    Menurutnya, menghadiri persekolahan pada hari pertama ini amatlah menyeronokkan kerana dapat berjumpa rakan sekelasnya dan guru-guru yang disayanginya setelah bercuti selama lebih sebulan.

    “Di musim cuti persekolahan saya banyak menghabiskan masa bersama ahli keluarga dengan bercuti di dalam dan luar negara.

    “Pada masa yang sama kami sekeluarga juga membuat persiapan menjelangnya pembukaan sekolah seperti menyediakan seragam sekolah, alat tulis dan buku yang akan saya perlukan di sekolah.

    Dayang Marlia semasa ditemui pihak media pada hari pertama sesi persekolahan 2023.
    Awang Muhammad Athmar Awwadi melahirkan perasaan teruja kembali ke sekolah.
    Salah seorang bapa murid di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai.
    Antara aktiviti yang diadakan pada hari pertama persekolahan.
    Suasana perkumpulan murid di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai semasa mendengarkan taklimat.

    “Memandangkan tahun ini saya menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), saya berazam untuk lebih fokus terhadap pelajaran saya untuk mendapatkan keputusan cemerlang 5A dengan mendengar segala nasihat guru-guru dan orang tua saya,” tambahnya.

    Bukan murid-murid sahaja yang gembira dengan bermulanya penggal persekolahan, ibu bapa turut menyuarakan kegembiraan.

    Salah seorang bapa murid di sekolah berkenaan, Haji Mohamad Darwes bin Haji Sabtu mengongsikan harapannya agar sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar pada tahun ini secara bersemuka dan seperti biasa hingga tahun-tahun mendatang.

    “Pembelajaran perlu dikongsikan dengan praktikal dan mengutamakan pendidikan kemasyarakatan, diterapkan pengenalan gejala-gejala tidak baik dan Melayu Islam Beraja,” tambahnya.

    Menjelang pembukaan penggal persekolahan hari ini, beberapa persiapan telah giat dijalankan lebih awal oleh pihak sekolah demi memastikan kelancaran dan mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif bagi murid-murid di sekolah berkenaan.

    Menurut Guru Besar Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Dayang Marlia binti Haji
    Mohammad Said, pihak sekolah berkenaan telah membuat persediaan awal dari segi
    pembahagian keramaian murid bagi setiap kelas, menyediakan senarai nama, mengagihkan buku-buku teks pada tahun lepas.

    Sementara itu, pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan, pelbagai aktiviti telah disusun bagi murid-murid termasuklah taklimat mengenai sekolah, pengenalan bersama rakan sebaya, aktiviti ice breaking dan pembangunan pasukan, jelas guru besar itu lagi.

    “Selaku Guru Besar Sekolah Rendah Tumpuan Telisai ini, harapan saya agar aktiviti yang dirancang akan berjalan dengan lancar serta pihak sekolah akan terus mencapai kejayaan dari segi akademik dan juga aktiviti kokurikulum tahun ini,” tambahnya.

    Bagi memberkati dan memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dilancarkan segala kegiatan yang dilakukan di sekolah tersebut, bacaan doa awal tahun dan Doa Selamat beramai-ramai turut diadakan yang dipimpin oleh guru sekolah tersebut semasa sesi perkumpulan pelajar di dewan sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda