Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Peluang untuk melanjutkan pengajian peringkat menengah di Republik Singapura merupakan peluang keemasan yang akan dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja untuk menambah ilmu pengetahuan tetapi memperoleh kemahiran dan kemahiran hidup yang boleh digunakan dalam kerjaya apabila kembali ke tanah air nanti.
Harapan itu disuarakan oleh salah seorang penerima anugerah Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura, Awang Muhammad Raziq Zafran bin Muhammad Amin dari Sekolah Jigsaw dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Awang Muhammad Raziq Zafran, 12, yang akan melanjutkan pengajiannya di Ngee Ann Secondary School berkata bahawa peluang untuk melanjutkan pengajian merupakan satu peluang yang amat dinanti-nantikan dan walaupun terdapat perasaan gementar kerana akan melanjutkan pelajaran di luar negara tetapi ia merupakan satu peluang yang tidak selalu hadir.
Beliau menyatakan harapan menerusi pengajiannya selama empat tahun di Singapura nanti akan mematangkan dirinya serta menjadi batu loncatan kepada mencapai cita-citanya pada masa akan datang untuk menjadi seorang jurutera.
Peluang yang amat baik untuk melanjutkan pengajian ke luar negara juga disuarakan oleh Glen Marcus Hong Tai Fu dari Sekolah Rendah Chung Hua, Kuala Belait yang akan menuntut di Victoria Secondary School.
Beliau percaya bahawa melalui biasiswa itu, ia akan memberikan peluang kepadanya bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga mengenali budaya masyarakat Singapura serta mendedahkannya kepada pengalaman hidup berdikari.
Beliau akui merasa gementar untuk melanjutkan pengajian di luar negara memandangkan beliau hanya pernah sekali sahaja berada di luar negara tanpa keluarga tetapi ia merupakan suatu peluang keemasan baginya mematangkan dirinya serta mengorak langkah mencapai cita-cita untuk menjadi seorang saintis atau peguam.
Bagi Awang Adam Rafie bin Rewandi dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan menuntut di Ngee Ann Secondary School, beliau amat teruja kerana dapat belajar di luar negara dan mengakui bahawa suasana pembelajaran agak kompetitif tetapi beliau yakin akan dapat menyesuaikan diri khususnya dengan rakan-rakan seperjuangannya yang akan menemaninya di Singapura nanti.




