Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Teruja lawat mercu tanda negara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Kapal Persiaran Norwegian Jewel sekali lagi membuat persinggahan di Pusat Kapal Persiaran Pelabuhan Muara hari ini, yang mana menunjukkan momentum pelancongan pelayaran yang berterusan.

    Kapal berkenaan yang membawa 2,531 penumpang dan 1,022 anak kapal itu membuat pelayaran dari Republik Filipina dan singgah di Kota Kinabalu sebelum berlabuh di negara ini.

    Para pelancong diberi peluang untuk mengikuti pakej pelancongan yang menarik bagi menerokai mercu-mercu tanda terkenal negara seperti Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Istana Nurul Iman.

    Dalam persinggahan singkat itu, mereka juga telah berpeluang merasa beberapa masakan dan minuman tempatan serta peluang untuk mendapatkan cenderahati tradisional Brunei.

    Salah seorang penumpang yang ditemui, Ernie dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berkata bahawa lawatan ke Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja sangat bermanfaat, di mana beliau menemui sejarah Sultan Brunei dan mengagumi persekitaran yang sangat bersih di negara ini.

    Salah seorang pelancong mengongsikan pengalaman istimewa semasa di Brunei. – GAMBAR GAMBAR SERAHAN JKP
    Kapal persiaran Norwegian Jewel semasa singgah di Pusat Kapal Persiaran Pelabuhan Muara kelmarin. – GAMBAR GAMBAR SERAHAN JKP

    Manakala itu, Manuel Sunga dan isterinya yang merupakan pelancong dari Filipina turut melihat mercu tanda yang berbeza dan menyifatkan penduduk tempatan yang mereka temui sebagai mesra.

    Pete Manzo dari Missouri, AS pula menjelaskan, perjalanan singkat bersama isterinya ke negara ini sangat menyeronokkan.

    Beliau turut berkongsi pengalaman mencuba pelbagai kuih tradisional Melayu khususnya selurut yang menurutnya merupakan satu pengalaman yang menggembirakan dan ingin kembali lagi dan tinggal lebih lama untuk menerokai pelbagai jenis makanan tempatan.

    Kapal persiaran tersebut akan memulakan pelayaran ke Vietnam, hari ini, menuju ke destinasi seterusnya dan akan menamatkan pelayarannya di Kuala Lumpur, Malaysia pada 11 Disember.

    Dengan pemulihan semula pelancongan pelayaran dan pembukaan semula sempadan laut, Brunei telah menyaksikan enam lawatan pelayaran, dan mengalu-alukan seramai 12,462 pelawat antarabangsa, di mana ia menunjukkan peningkatan yang stabil dalam ketibaan pelancong melalui perjalanan laut.

    Negara Brunei Darussalam dijangka mengalu-alukan tujuh kapal persiaran pada tahun depan di mana kapal pelayaran pertama dijadualkan tiba pada 30 Januari 2024.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...