Monday, February 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruja meriahkan acara perhimpunan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Puluhan ribu orang membanjiri kawasan berdekatan Taman Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi menyaksikan secara langsung Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41) Tahun 2025, hari ini.

    Orang ramai mula berpusu-pusu menuju lokasi upacara perhimpunan bagi menyaksikan acara bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam itu sejak pukul 6 pagi lagi, tanpa mengira usia, warga kulit dan juga bangsa.

    Kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk Jalan Pemancha, Jam Peringatan, Jalan Elizabeth II dan juga Jalan Mc Arthur.

    Walaupun cuaca agak panas, namun ia tidak menghalang mereka untuk datang bersama-sama keluarga bagi memeriahkan acara perhimpunan tersebut.

    Semasa temu bual dengan Staf Sarjan Wanita 2998 Rujiah @Auji binti Haji Kassim yang memimpin perbarisan daripada Pasukan Kadet Pancaragam Pasukan Polis.

    Gambar ramai Pasukan Pancaragam Kadet Polis dengan gabungan institusi pengajian tinggi, maktab dan sekolah menengah semasa Sambutan HK-41 di ibu negara. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Haji Alim menyatakan ia satu kemestian untuk turun menyaksikan sendiri Upacara Perhimpunan Agung Sambutan HK-41. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Beliau berkata, “Seramai 33 orang dari institusi pengajian tinggi, maktab-maktab dan sekolah menengah telah mengambil bahagian dalam acara tahun ini. Mereka adalah gabungan peserta baharu dan peserta yang telah menyertai sambutan Hari Kebangsaan tahun sebelumnya.”

    Dengan sambutan HK-41 tahun ini, beliau berasa bangga menjadi anak Brunei yang diberi peluang untuk menyertai dan memimpin pasukan kadet bagi membuat yang terbaik.

    Menyentuh dari segi persiapan pula, pasukan itu telah berlatih setiap hari Jumaat.

    Sementara itu, Haji Alim bin Ranggas, berasal dari Kampung Tanjung Nangka, pula menjelaskan, menyaksikan secara langsung perhimpunan agung Hari Kebangsaan membuatnya berasa puas dan semangat kemerdekaan itu lebih dapat dirasakan.

    “Saya tidak pernah terlepas menghadiri perhimpunan agung ini, dahulu semasa masih bekerja saya pun pernah mewakili dalam acara perbarisan lalu berkenaan,” ujarnya.

    Manakala Hajah Damiah binti Haji Lakim, 56, dari Kampung Tanah Jambu yang datang bersama keluarga pula berkongsi perasaan gembira kerana masih diberi kesihatan yang baik untuk sama-sama berhimpun menyaksikan acara bersejarah negara.

    Katanya, “Walaupun keadaan jalan raya yang sesak di sana sini, kami terpaksa meletakkan kereta di kawasan Batu Satu dan merentas jambatan di Taman Mahkota Jubli Emas untuk sampai ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    “Sepanjang perjalanan menuju ke taman, ramai peserta yang terlibat sibuk mempersiapkan diri mereka dengan mengenakan pakaian yang berwarna-warni.

    “Melihat semangat yang dipamerkan telah membuatkan saya berasa bangga menjadi anak Brunei yang dapat bernaung di Bumi Darussalam yang tercinta, aman dan damai serta harmoni di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda