Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Bekas pesakit kanser berusia 15 tahun, Awang Danish Aliuddin bin Mohd Noorizan melahirkan perasaan teruja setelah menyampaikan pesambah berupa karya hasil lukisannya ke hadapan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA), Kampung Kiarong, hari ini.
Dalam temu bual ringkas pada majlis berkenaan, bekas pesakit Leukemia itu melahirkan perasaan syukur bagi hari yang amat istimewa YASKA dan juga bagi dirinya.
“Saya merasa amat gembira dan teruja kerana berpeluang untuk menyembahkan sebuah pesambah lukisan saya kepada YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah,” ujarnya.
Awang Danish Aliuddin yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Lambak Kiri menerangkan bahawa lukisannya yang merangkumi lautan, gunung dan bulan datang dari ideanya sendiri.
“Ia merupakan sebuah lukisan yang cantik dan unik. Ia mengambil masa beberapa jam untuk menyiapkan lukisan menggunakan rona warna yang berbeza termasuk menggunakan semburan,” jelas beliau.
Awang Danish Aliuddin amat meminati bidang lukisan dari usia yang muda lagi di mana beliau bermula dengan melukis kartun sebelum mengembangkan kemahiran lukisannya pada usia 10 tahun.
Beliau yang berbakat besar itu juga berhasrat untuk melaksanakan lebih banyak projek lukisan dalam masa yang terdekat ini.