Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Teruja sertai Majlis Khatam Al-Quran 76 kali senegara

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani & Adib Noor

    Gembira, terharu dan bangga antara perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata oleh kalangan peserta Majlis Khatam Al-Quran 76 kali Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara Tahun Bagi Tahun 2022 demi raja yang tercinta.

    “Saya berasa gembira kerana berpeluang untuk mengikuti acara khatam yang diadakan di Istana Nurul Iman pada hari ini,” jelas Awang Mohd Aiman Hafiz bin Mohd Nazri, 13, semasa ditemu bual wartawan Media Permata sebelum majlis tersebut dimulakan.

    Beliau yang mewakili Sekolah Ugama Ukong, Tahun 5, turut mengongsikan bahawa ianya merupakan kali pertama beliau mengikuti acara khatam besar-besaran seperti ini.

    “Jika diberikan peluang lagi di masa hadapan untuk mengikuti, sudah setentunya saya mahu lagi untuk ikut serta kerana untuk khatam di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat adalah satu kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan,” tambahnya yang berada di Istana Nurul Iman sejak seawal 11 pagi lagi.

    Salah seorang lagi peserta yang sempat ditemu bual media, Awang Mohd Zawawi Rafiqi bin Mohd Zainil Rizal, yang merupakan pelajar Tahun 4 dari Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Temburong, menjelaskan beliau sebelum ini belum pernah mengikuti acara khatam di Istana Nurul Iman dan ini merupakan kali pertama.

    Awang Mohd Aiman Hafiz ketika ditemu bual oleh media.
    Awang Mohd Zawawi Rafiqi menjelaskan beliau sebelum ini belum pernah mengikuti acara khatam di Istana Nurul Iman dan ini merupakan kali pertama.
    Dayang Runa merupakan salah seorang peserta mewakili Bahagian Khatam Al-Quran Bahagian Dewasa Daerah Temburong.
    Awang Izdiyad Izdihar merakamkan rasa syukur kerana terpilih dalam acara keagamaan itu bagi meraikan Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-76 tahun.
    ABOVE & BELOW: Antara peserta yang ikut serta dalam Majlis Khatam Al-Quran 76 kali Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara Tahun Bagi Tahun 2022 di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

    “Saya juga berasa sangat bangga kerana dipilih oleh guru besar kami mewakili sekolah kami untuk mengikuti majlis khatam bersama sekolah-sekolah lain.

    “Kami juga mula disuruh membaca dari juz 1 bermula dari 16 Jun lalu di rumah masing-masing hinggalah menamatkan juz 30,” kongsinya.

    Dayang Runa binti Bagol, dari Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Temburong, ketika ditemui mengongsikan bahawa beliau merupakan salah seorang peserta mewakili Bahagian Khatam Al-Quran Bahagian Dewasa Daerah Temburong.

    Beliau menjelaskan Daerah Temburong mempunyai 70 orang peserta perempuan dan 70 orang peserta lelaki. Tambahnya, ini merupakan penyertaan beliau kali kedua yang mana kali pertama beliau mengikuti majlis seumpamanya ialah semasa tahun 2011 yang lalu.

    “Perasaan saya menjadi sebahagian daripada peserta khatam amat gembira dan teruja kerana dapat mewakili Da-erah Temburong untuk menyertai khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-76 tahun,” kongsi Dayang Runa.

    Apabila ditanya mengenai bagaimana beliau mencukupkan khatam Al-Quran sebanyak 76 kali, Dayang Runa mengongsikan bahawa selepas setiap kali solat, beliau akan membaca Al-Quran untuk menghabiskan dari mula pelancarannya.

    “Dari awal sebelum pelancarannya juga saya sudah mula membaca Al-Quran sama ada secara sendirian ataupun juga di masjid bersama peserta-peserta lain,” jelasnya.

    Manakala Awang Izdiyad Izdihar bin Nasri, pelajar Tahun 4, Sekolah Ugama Madang, merakamkan rasa syukur kerana terpilih dalam acara keagamaan itu bagi meraikan Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-76 tahun.

    “Saya amat berbesar hati berada di sini hari ini bersama peserta lain. Ini adalah kali pertama saya menyertai majlis Khatam Al-Quran beramai-ramai dan ia adalah pengalaman yang sangat menggembirakan membaca ayat-ayat suci ayat Al-Quran untuk raja tercinta.

    “Semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan umur yang panjang kepada Baginda Sultan dan kerabat diraja. Amin,” tambah Awang Izdiyad Izdihar ketika menutup perbualan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...