Oleh Syahmi Hassan
Meskipun aktiviti berbasikal boleh dilakukan semasa Program Bandarku Ceria di ibu negara setiap minggu, namun bagi Presiden Persatuan Masyarakat Indonesia di Brunei Darussalam (PERMAI), Mukhidin Umar berpendapat mengikuti acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2022 lebih terasa kemeriahannya.
Ini kerana, beliau berkesempatan mengikuti acara berbasikal berkenaan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja.
“Kami berasa sangat bangga sekali kerana dapat berbasikal dengan santai bersama Baginda Sultan dan komuniti kami, yang juga disertai oleh Duta Besar Indonesia ke Brunei Darussalam kami, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko.
“Pada hari ini, kami dapat bertemu banyak komuniti berbasikal di Brunei, bukan hanya persatuan-persatuan basikal dari Brunei Darussalam, bahkan selain kami dari Indonesia, ada juga peserta dari Vietnam dan mungkin dari negara-negara lain,” tambahnya semasa ditemui Media Permata kelmarin.
Menurut beliau, lebih kurang 50 orang ahli PERMAI telah sama-sama turun padang menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2022, yang bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan berakhir di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, di ibu negara.
Tambahnya, acara berkenaan sangat bermanfaat bagi mereka kerana bukan sahaja bagi menjalani kehidupan secara sihat dengan berbasikal, malah juga dapat menjalin hubungan antara komuniti berbasikal yang lain di Brunei Darussalam.
“Alhamdulillah, persatuan kami juga sememangnya aktif membuat aktiviti berbasikal, boleh dikatakan kami mengadakan seminggu sekali Fun Bike Indonesia,” katanya semasa mengakhiri temu bual.