Pelakon dan pengacara, Hawa Rizwana berpuas hati dapat menyertai program realiti adaptasi Korea Selatan iaitu Real Men Malaysia: Wira Merah yang bakal menemui penonton bermula 30 Julai ini.
Ini kerana kata Hawa atau Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 28, dia tidak dapat melakukan banyak aktiviti lasak termasuk menyertai sebarang aktiviti sukan di sekolah kerana dilarang oleh kedua ibu bapanya.
“Sejujurnya sewaktu saya membesar, ibu bapa saya tidak memberi keizinan untuk menyertai sebarang aktiviti sukan, mungkin juga kerana dalam adik-beradik saya seorang saja anak perempuan.
“Disebabkan itu apabila pengurus beritahu pihak Astro menawarkan untuk menyertai program realiti ini saya teruja kerana akhirnya saya dapat buat apa tidak dapat lakukan sebelum ini,” katanya kepada mStar.
Hawa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran Real Men Malaysia: Wira Merah yang diadakan di Balai Bomba Jalan Hang Tuah yang diadakan di Kuala Lumpur kelmarin.
Dalam pada itu, Hawa memberitahu mStar, sebelum berangkat ke Terengganu selama 22 hari untuk menjalani penggambaran program tersebut, dia berterus terang dengan ibu bapanya dan mereka memberikan restu.
“Sewaktu menerima tawaran ini saya tidak berkongsi sangat dengan ibu dan ayah, tetapi beberapa hari sebelum berangkat ke Terengganu, saya berterus terang dengan mereka.
“Alhamdulillah tak sangka mereka kini lebih terbuka dan memberi sokongan. Setiap hari saya akan membuat panggilan video dengan mereka, sehinggalah ada satu ketika itu, mereka mengesan luka pada bahagian lengan saya.
“Tetapi saya cepat-cepat mengelak memberitahu ingin solat dan terus menamatkan panggilan,” jelasnya sambil tertawa. – Agensi