Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruja tonton filem dari rumah api

    MARSTRAND, SWEDEN – Seorang jururawat barisan depan Sweden sedang berseronok bercuti dengan menghabiskan seminggu menonton tayangan festival filem Gothenburg, di sebuah bekas rumah api di pantai barat negara.

    Lebih daripada 12,000 calon dari 45 buah negara memohon untuk menyaksikan filem festival dalam suasana hampir keterasingan di sebuah pulau yang terletak 400 kilometer dari Stockholm.

    Hadiahnya ialah seminggu menonton seberapa banyak daripada 70 tayangan perdana festival pilihan hati mereka dalam sebuah hotel di bekas Rumah Api Pater Noster.

    Namun mereka perlu mengasingkan diri dan tidak mempunyai akses kepada komputer atau komputer riba mereka sendiri.

    Rumah api warna merah bata, dibina di sebuah pulau kecil di luar pantai barat Sweden pada 1868, dikelilingi oleh beberapa bangunan dempak warna merah yang pada asalnya dibina untuk menempatkan keluarga penjaga rumah api tersebut. Ia hanya boleh diakses melalui bot atau helikopter, bergantung pada cuaca.

    Lisa Enroth dan Jonas Holmberg bergambar berhampiran Pulau Marstrand, barat laut Gothenburg, Sweden. – AFP
    Pemandangan udara menunjukkan sebuah hotel dibina sekitar Rumah Api Pater Noster di pulau Hamneskar di luar pantai barat Sweden. – AFP
    Skrin kecil ditempatkan dalam Rumah Api Pater Noster di pupau Hamneskar di luar pantai barat Sweden. – AFP

    Selepas beberapa siri temu bual dan ujian, penganjur festival memilih jururawat kecemasan dan peminat filem Lisa Enroth untuk hadiah tersebut, sejajar dengan tema festival 2021, Penjarakan Sosial.

    Sebelum menaiki sebuah bot laju keluar menuju ke pulau pada pagi cerah musim sejuk, Enroth berkata dia memohon bukan hanya disebabkan minatnya yang mendalam terhadap pawagam, tetapi juga berusaha mencari ketenangan daripada kerjanya yang amat sibuk sebagai jururawat kecemasan semasa pandemik.

    “Kerja saya amat sibuk, maka ia merupakan satu peluang yang sungguh baik untuk mendarat di pulau ini dan hanya merenung pada tahun yang sudah berlalu,” ujarnya.

    Sweden, yang telah mengamalkan pendekatan ringan terhadap pandemik berbanding dengan negara jirannya, telah menghadapi gelombang kedua yang lebih teruk daripada dijangka. Setakat ini, lebih daripada 11,500 orang telah terkorban akibat COVID-19 di seluruh negara.

    Enroth bekerja di wad kecemasan sebuah hospital di Skovde di tengah Sweden. Sejak bermulanya pandemik, kerjanya di hospital menjaga pesakit virus selain bebanan kerja tetap mereka adalah amat mencabar.

    “Kami mencatat banyak kes COVID-19 sepanjang tahun ini dan setiap pesakit yang telah dimasukkan ke hospital telah melalui wad kecemasan,” beritahunya kepada wartawan.

    Menurut penganjur, mereka terkejut dengan jumlah pemohon yang memohon untuk hadiah yang ditawarkan tetapi yakin mereka telah memilih calon yang sesuai – bukan sahaja minatnya yang mendalam terhadap filem.

    “Dia juga mendedikasikan tahun lalu dalam barisan depan memerangi pandemik COVID-19,” beritahu pengarah kreatif festival Jonas Holmberg kepada AFP.

    “Ia merupakan salah satu sebab kami memilihnya.”

    Memakai baju sut tebal, bot laju yang dinaiki Enroth memecut di perairan sejuk, melompat turun di pelabuhan kecil pulau dan menghilangkan diri dalam rumah penginapannya.

    Satu skrin telah didirikan dalam bilik tanglung di atas rumah api pulau, menawarkan pemandangan menyeluruh laut dan garis pinggir di sekeliling.

    Satu lagi skrin telah didirikan dalam salah sebuah bangunan di pulau.

    Enroth juga akan mempunyai sebuah tablet dan fon kepala sekiranya dia mahu menonton filem di tempat lain di pulau, yang berukuran 250 meter dengan 150 meter.

    Dengan hanya seorang lagi individu yang tinggal tetap di pulau itu – satu langkah berjaga-jaga keselamatan – satu-satunya kontak Enroth dengan dunia luar adalah menerusi diari videonya mengenai filem yang telah ditontonnya.

    Filem festival akan ditayangkan dalam talian dan dua tempat di Gothenburg itu sendiri akan membenarkan tayangan untuk satu orang pada satu masa.

    Holmberg, pengarah kreatif festival, berkata beliau berharap acara seperti ini akan mengekalkan minat dalam industri pada masa apabila banyak panggung wayang ditutup disebabkan sekatan pandemik.

    “Kami teringin melihat banyak filem kembali ke pawagam dan buat sementara waktu kami perlu bersikap kreatif dan melakukan perkara yang mampu mewujudkan perbincangan,” beritahunya kepada wartawan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda