Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teruja warisi rumah agam turun temurun

    ROCHDALE, UNITED KINGDOM – Semasa zaman kanak-kanak, Hopwood DePree sering mendengar cerita tentang keluarga yang memiliki rumah agam yang diwarisi nenek moyang di England tetapi dia sentiasa menganggapnya sebagai legenda.

    Sehinggalah, penerbit Hollywood itu menjejaki rumah agam abad ke-15 dengan 60 bilik di kawasan luar bandar di barat laut England.

    Pada 2017, warga Amerika itu meninggalkan California untuk tinggal sepenuh masa berhampiran Manchester dan memulihkan rumah agam yang dalam keadaan rosak.

    Rentetan peristiwa yang tidak diduga bermula pada suatu petang tahun 2013 apabila DePree melihat tapak genealogi dan menemui foto lama rumah itu.

    “Tidak disangka, rumah itu adalah tempat yang sering diceritakan oleh datuk saya,” ingatnya.

    Tingkap kaca berwarna yang baru dibuat di Hopwood. – AFP
    Hopwood DePree bergambar di dalam Hopwood Hall, rumah pusaka keluarganya yang terletak di Middleton, utara England. – AFP
    Salah satu panel ukiran kayu di dalam bilik tidur Hopwood Hall. – AFP

    Pekerja pembinaan memulihkan bahagian luar Hopwood Hall di Middleton, utara England. – AFP
    Pemandangan daripada luar Hopwood Hall, rumah pusaka keluarga Hopwood DePree. – AFP
    Hopwood DePree berada di salah satu bilik di Hopwood Hall. – AFP
    Salah satu ukiran dicipta semula yang akan menggantikan ukiran asal di Hopwood Hall. – AFP

    Hartanah itu ialah Hopwood Hall, menerangkan nama pertama DePree yang diturunkan turun-temurun, yang sering membuatkan dia malu.

    Tidak lama selepas itu DePree menaiki kapal terbang dalam misi mencari Hopwood Hall, hanya kerana ingin tahu.Kedatangannya tidak bermula baik, apabila dia menolak pintu, terdapat tikus dan sebahagian bumbung telah runtuh.

    Tetapi datang dari Los Angeles, membuatnya mengingati rasa emosinya yang dikelilingi oleh sejarah, di mana cerobong asap dan pintu asal serta tempat di mana nenek moyangnya dilahirkan.

    Penduduk tempatan yang membawa DePree meninjau ke sekeliling, cepat memberi amaran bahawa “jika tiada apa yang dilakukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, ia akan runtuh dan bertukar menjadi runtuhan dan lenyap selama-lamanya,” katanya kepada AFP.

    Hopwood Hall telah ditinggalkan selama beberapa dekad.

    Pemiliknya, merupakan saudara jauh Hopwood, meninggal dunia tanpa waris selepas dua anak lelaki mereka terbunuh dalam Perang Dunia Pertama. Ia kemudiannya digunakan untuk membuat pakaian seragam semasa Perang Dunia Kedua sebelum diambil alih oleh sami.

    Downton Shabby

    Lima tahun telah berlalu sejak DePree memulakan pengubahsuaiannya.

    Hasilnya masih jauh dari Downton Abbey, rumah fiksyen megah yang menjadi latar untuk siri televisyen popular Britain tentang keluarga bangsawan pada awal 1900an.

    DePree telah menulis sebuah buku tentang proses pemulihan yang dipanggil Downton Shabby, memperincikan kehidupan baharunya denan gambaran yang indah walaupun perkembangannya perlahan.

    “Di mana-mana sahaja awda melihat, ada sesuatu untuk dilakukan,” kata lelaki berusia 52 tahun itu.

    “Saya tahu ia adalah projek besar-besaran, tetapi saya tidak tahu tentang banyak cabaran, penundaan… Ia mengujakan.”

    Menjelajah di tapak bangunan, DePree memberi amaran tentang lubang yang teruk di lantai parket, manakala pekerja binaan membaiki permukaan bangunan. Sebanyak 39 cerobong diubah suai, bersama-sama dengan sebahagian bumbung. Sekarang tugas yang paling mendesak ialah menyelesaikan tingkap.

    Dia menggelarnya perlumbaan mengejar masa terutama sekali dengan hujan lebat di sana dan kelawar. Walaupun keadaan usang, harta karun itu telah terselamat daripada kerosakan masa dan penjarahan.

    Salah satu perapian adalah hadiah daripada penyair Lord Byron, kata DePree. Penyair Romantik itu menulis banyak ayatnya di istana.

    Pada tahun 1970an, tempat terbiar seperti itu mula menarik pelbagai subkultur dan dikhabarkan rumah itu telah dilawat oleh ahli The Beatle, John Lennon. Seni jalanan yang dilukis di dinding bermula sejak zaman ini.

    Konsert dan perkahwinan

    Hopwood telah melancarkan saluran YouTube di mana dia berkongsi pengembaraannya dan membuat lelucon untuk kemahiran DIYnya yang tidak seberapa.

    “Saya cuba belajar. Tetapi itu bukan kekuatan saya,” katanya.

    “Kebanyakan projek, saya melakukannya di sebalik komputer saya.”

    DePree sedang mencari pelaburan lanjut kerana projek itu dijangka menelan kos sekitar 10 juta pound lagi (AS$12.2 juta).

    Beberapa yayasan kebajikan, termasuk Historic England, menyumbang dari segi kewangan, begitu juga dengan Majlis Daerah Rochdale, penduduk tempatan dan sudah tentu DePree sendiri.

    “Kami memerlukan pelaburan swasta,” jelasnya.

    Beberapa orang tempatan telah membantu di tapak bangunan.

    “Ramai dalam komuniti mempunyai hubungan dengan Hopwood. Nenek moyang mereka pernah bekerja di sana. Ia adalah salah satu majikan terbesar di kawasan itu,” kata DePree.

    Kini, rumah itu berada di salah satu kawasan paling miskin di England. Hopwood Hall akhirnya akan menjadi hab komuniti, digunakan untuk konsert dan pameran dan pesta perkahwinan di taman. DePree berharap dapat menyiapkannya dalam masa lima tahun.

    “Saya merindui matahari di LA. Kadang-kadang kawan saya menelefon saya dari pantai dan hujan lebat di sini,” katanya.

    “Saya tidak menyesal. Ini memang terasa seperti di rumah sendiri.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda