Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Sama dengan negara-negara lain di dunia, terumbu karang (coral reefs) di Brunei Darussalam adalah pada risiko terancam oleh aktiviti manusia termasuk pengeluaran berlebihan (overharvesting), kemusnahan habitat akibat pencemaran dan perubahan iklim.
Penangkapan ikan pula berada di barisan hadapan yang akan terjejas oleh mana-mana perubahan ekosistem marin.
Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Ketua Pengurusan Ekosistem Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Zuliza binti Haji Jolkifli semasa pembentangannya mengenai ‘Terumbu Buatan bagi Peningkatan Pengeluaran Perikanan’ pada Forum Penutupan dan Pemulihan (D&R), yang diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2021 di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Menyentuh mengenai terumbu buatan sebagai alat untuk pengelolaan dan peningkatan sumber daya perikanan laut, Hajah Zuliza menjelaskan bahawa terumbu buatan adalah struktur yang sengaja ditenggelamkan atau diletakkan di dasar laut untuk meniru beberapa fungsi terumbu alami seperti melindungi, menjana semula, menumpukan perhatian atau meningkatkan populasi penduduk sumber hidupan laut.
“Objektif memiliki terumbu buatan adalah bagi mencipta habitat baharu untuk ikan dalam meningkatkan mutu tempat perikanan yang menawarkan tempat penangkapan ikan alternatif hingga mengubah hala tekanan penangkapan ikan, mewujudkan rangkaian potensi kawasan perlindungan laut untuk menguruskan kitaran hidup ikan dan perhubungan, mempromosikan kelangsungan hidup spesis yang disasarkan komersial seperti ikan Red Snappers, Mackerel dan Emperor Red Snapper, bertujuan sebagai penguatkuasaan senyap untuk meminimumkan dari pencerobohan asing dan pencerobohan tempatan di kawasan larangan,” kongsi Hajah Zuliza. Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai program Rig-to-Reef yang merupakan pendekatan ‘menang-menang’ bagi alam sekitar dan ekonomi untuk melindungi usaha yang menguntungkan bagi perikanan komersial dan ekosistem.
Rig-to-Reef turut diperjelaskan lebih mendalam oleh Jurutera Projek D&R dari Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Dayang Nuramalina Hayate binti Haji Matassan dalam pembentangannya bertajuk Rig to Reef – Regulatory Perspective.
“Perspektif peraturan menjelaskan bahawa kegiatan-kegiatan D&R akan dilaksanakan pada 20 hingga 30 tahun akan datang di lebih 1,000 telaga minyak di darat dan di luar pesisir, lebih 200 struktur luar pesisir, dan lebih 1,500km panjang saluran paip darat dan luar pesisir,” kongsinya.
Menurutnya, hasil program Rig-to-Reef telah menunjukkan bahawa ikan komersial, kerapu, kakap rabbitfish dan alu-alu adalah antara ikan yang paling sering ditangkap. Selain itu, pelancongan eko di mana penyelam dan jurugambar bawah laut juga tertarik dengan karang dan organisme yang berwarna-warni yang melekat di terumbu pelantar.
Di hujung pembentangannya, Dayang Nuramalina Hayate menekankan mengenai pentingnya kerjasama berterusan antara pengawal selia, agensi-agensi kerajaan, pengendali dan kontraktor serta penyelidikan dan pengembangan mengenai penyelesaian terbaik untuk jurutera, penyediaan, pembuangan dan pelupusan, pembuatan semula serta pemulihan untuk menjaga keselamatan alam sekitar dan pelaksanaannya.