Oleh Siti Radziah Hamzah –
Gandingan kehijauan rimba yang belum terusik dan keindahan taman marin yang tersorok di bawah biru kehijauan permukaan perairannya mengangkat nama gugusan Pulau Perhentian sebagai antara destinasi pelancongan terindah di Malaysia.
Terletak kira-kira 11 batu nautika ke timur laut Kuala Besut, Besut, Terengganu, gugusan Pulau Perhentian mempunyai taman terumbu karang yang bukan sahaja menjadi tapak nurseri ikan dan ‘kafeteria’ pelbagai jenis hidupan marin, tetapi juga penampan yang melindungi pulau-pulau di sana daripada kuasa alam semula jadi.
Akan tetapi, khazanah alam laut tidak ternilai ini sedang menghadapi ancaman yang kian hebat: pemanasan air laut, pencemaran plastik, kegiatan perikanan berlebihan, pelunturan karang serta tekanan daripada industri pelancongan yang ironinya menjana ekonomi penduduk setempat.
Bagi Hidayah Halid, 33, pengurus stesen di Perhentian Marine Research Station (PMRS), gugusan pulau ini tidak hanya indah tetapi turut memainkan peranan yang unik dalam kelangsungan ekosistem marin Malaysia.
Diwujudkan pada 2017 oleh perusahaan sosial berasaskan pemuliharaan Fuze Ecoteer Outdoor Adventures, PMRS bermatlamat meningkatkan kefahaman tentang ekosistem marin dan memperkukuh pengurusan sumber di gugusan Pulau Perhentian.



Stesen itu memfokuskan pada pemantauan kesihatan terumbu karang pulau serta menggabungkan penyelidikan saintifik dengan pendekatan pemuliharaan biobudaya yang mengekalkan kesalingbergantungan manusia dan alam semula jadi.
PMRS memetakan habitat marin merentasi Taman Marin Pulau Perhentian yang meliputi Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Susu Dara dan beberapa pulau kecil yang tidak berpenghuni, bagi menilai kesihatan terumbu, sambil pada masa sama melibatkan pihak berkepentingan setempat ke arah amalan lestari.
“Pulau Perhentian sebenarnya pulau paling hujung di sepanjang pantai timur. Apabila karang mengeluarkan benih di sini, larvanya hanyut bersama-sama dengan arus selama hingga tiga minggu dan berakhir di terumbu nun di selatan atau utara.
“Jadi, Perhentian ini macam pembekal, membantu melestarikan terumbu lain dan pada masa lain jadi penerima, bergantung pada arah arus. Sebab itu ia penting, ia menyokong kelangsungan terumbu di sepanjang perairan,” kata Hidayah kepada Bernama baru-baru ini.
(Penulis ke PMRS sebagai sukarelawan antara 8 hingga 14 September lepas).
“Anda perlu lihat ini sebagai sebuah rantau, satu rangkaian kerja. Perhentian memastikan kesinambungan itu,” tambahnya.
PENJAGA TERUMBU KARANG
Terselit di antara kehidupan kampung yang tenang dan kesibukan resort peranginan, PMRS yang terletak di Pulau Perhentian Kecil ini memainkan peranan sebagai penjaga terumbu karang tanpa disedari oleh kebanyakan orang. Menariknya, bagi musim 2025, kesemua petugas di stesen ini adalah wanita.
Sepanjang Bernama berada di situ, pasukan yang terdiri daripada dua kakitangan dan empat pelatih melakukan selaman saban hari bagi memantau kesihatan karang, meninjau padang rumpai laut dan merekodkan perubahan dalam biodiversiti marin.
Di darat pula mereka mengendalikan program kesedaran untuk murid sekolah, berinteraksi dengan nelayan mengenai amalan lestari dan mendidik pengembara cara menikmati pulau dengan bertanggungjawab.
Bagi Hidayah, keterlibatan begitu ramai wanita dalam bidang pemuliharaan di Perhentian bukan satu kebetulan.
“Kerja di sini mencabar dan meletihkan, selalunya perlu melakukan pelbagai benda secara serentak, dari perancangan projek kepada kewangan, operasi, penyelidikan dan kebajikan pelatih. Kaum wanita selalunya lebih teliti dan mampu melakukan pelbagai tugas pada satu-satu masa dan majikan menganggap itu satu kekuatan,” jelasnya.
Menurutnya, projek pemuliharaan lain di Pulau Tioman (Pahang) atau Pulau Redang (Terengganu) didominasi oleh kaum lelaki, namun tambah Hidayah, sejak dulu lagi Fuze Ecoteer dan PMRS lazimnya diuruskan oleh wanita.
Tonggak misi mereka ialah AnakPulau, sebuah inisiatif yang diwujudkan pada 2021 oleh belia setempat untuk mereka sendiri di gugusan Pulau Perhentian.
Pada masa ini, kira-kira 30 orang anak muda pulau itu yang dulunya menghabiskan zaman kanak-kanak mereka berenang di antara terumbu karang dan mengejar ikan, telah berikrar untuk melindungi ekosistem yang membesarkan mereka.
Di bawah inisiatif AnakPulau, PMRS melengkapi anak muda dengan kemahiran pemuliharaan dan kelayakan menyelam profesional sekali gus memperkasakan mereka untuk mengambil tindakan yang bermakna.
“Suatu hari nanti, walaupun ketika itu PMRS sudah tidak ada lagi di sini, AnakPulau seharusnya mampu beroperasi sendiri. Itulah matlamatnya, satu usaha pemuliharaan yang benar-benar diterajui oleh komuniti,” kata Hidayah.
PELANCONGAN BERLEBIHAN
Sementara itu, Eden Chin, 23, pelatih PMRS dari United Kingdom yang belajar dalam bidang biologi marin di Plymouth University, berkata kepulauan Perhentian antara tempat dia menyaksikan sendiri betapa buruknya kesan pelancongan yang tidak terkawal terhadap ekosistem marin.
“Pelancong memijak terumbu karang, menyentuh dan mengejar hidupan laut… ramai yang tidak sedar bahawa perbuatan itu sebenarnya berbahaya. Kadangkala hal itu berpunca daripada kejahilan, tetapi selalunya disebabkan oleh kurang kesedaran,” katanya.
Chin berkata sebahagian besar kerosakan berlaku di kawasan cetek yang mudah diakses, iaitu lokasi tumpuan para penyelam skuba dan penyelam snorkel yang kurang berpengalaman.
Memburukkan lagi masalah ialah tindakan pengendali bot menjatuhkan sauh di atas kawasan terumbu karang, memecahkan struktur rapuh yang mengambil masa puluhan tahun untuk terbentuk.
“Orang datang untuk menikmati keindahan terumbu karang, tetapi berakhir dengan mereka sendiri ‘membunuh’ keindahan itu,” katanya.
Bagi Chin, isunya bukan sekadar kerosakan fizikal tetapi juga ketiadaan bimbingan berstruktur untuk pelawat.
“Langkah-langkah mudah seperti taklimat yang betul sebelum aktiviti selam snorkel atau papan tanda larangan sentuh boleh mengubah situasi ini. Rata-rata tidak berniat jahat, cuma mereka tidak tahu. Akan tetapi, sekiranya mereka diberikan arahan yang jelas, mereka boleh mengubah kelakuan ketika berada di dalam air,” tegasnya.
Walaupun peraturan itu penting, Chin berkata ia mesti disertai dengan kempen kesedaran yang bermula sejak awal.
“Jika ibu bapa memahami mengapa terumbu karang itu penting, mereka boleh menyampaikan kefahaman itu kepada anak-anak mereka. Maka generasi pelancong seterusnya tidak akan melihat terumbu sebagai tempat permainan, tetapi sebagai ekosistem yang harus dihormati.”
Seorang lagi pelatih PMRS, Jessica Farrell, 24, dari Sepanyol, berkata pengalamannya di gugusan Pulau Perhentian memberikan inspirasi dan juga kesedaran.
“Di sini terdapat banyak hidupan laut, dan setiap kali menyelam anda akan melihat pelbagai spesies. Terumbu karangnya penuh dengan warna, begitu hidup dan menyerlah,” kata Farrell yang memiliki ijazah dalam bidang biologi dan merupakan divemaster bertauliah.
Gadis itu membandingkan keadaan tersebut dengan pengalaman selamannya di kampung halaman.
“Saya kebanyakannya hanya menyelam di Sepanyol, di mana perairannya jauh lebih sejuk dan anda tidak akan melihat kekayaan serta kepelbagaian hidupan laut yang sama,” katanya.
Mengenang pengalamannya di Perhentian, Farrell berkata ia turut mengubah hubungannya dengan laut.
“Saya memang sukakan lautan, tetapi semakin lama kita luangkan masa di laut, semakin kita sedar bahawa kita tidak akan tahu segala-galanya tentang laut dan terdapat begitu banyak benda untuk diteroka,” katanya.
SUARA GENERASI BAHARU
Wong Yee Shuen, 23, penuntut dalam bidang ekologi dan biodiversiti di Universiti Malaya yang baru sahaja menyertai PMRS sebagai pelatih media sosial, mendapati walaupun ada inisiatif kitar semula di pulau itu, usaha tersebut berisiko mewujudkan rasa selamat yang palsu.
“Orang menganggap tidak mengapa untuk guna plastik kerana boleh dikitar semula, tetapi hakikatnya kebanyakan plastik tidak boleh dikitar semula. Proses kitar semula itu sendiri memerlukan tenaga dan menghasilkan bahan pencemar. Di sebuah pulau dengan keupayaan terhad untuk menguruskan sisa, perkara yang lebih penting ialah mengurangkannya di peringkat sumber,” katanya.
Bagi Wong, cabarannya bukan sekadar tentang perlindungan marin, tetapi juga mengenai penyelarasan gaya hidup harian dengan matlamat pemuliharaan.
Dia menyoroti penggunaan barangan sekali guna yang meluas, terutamanya di kawasan pelancongan, yang menurutnya satu tingkah laku pengguna tidak mampan. – Bernama

