SYDNEY, 6 OGOS – Terumbu Sawar Besar di Australia mengalami penyusutan ketara dalam liputan karang, kembali ke tahap purata jangka panjang selepas mencatatkan paras tertinggi pada tahun-tahun sebelumnya, menurut laporan terbaharu Institut Sains Marin Australia (AIMS) yang dikeluarkan hari ini.
Kemerosotan mendadak itu menandakan tahap ketidaktentuan baharu dalam kesihatan ekosistem terumbu karang di luar pantai Queensland Australia.
Laporan itu mendedahkan bahawa sistem terumbu terbesar dunia ini mencatatkan kemerosotan tahunan terbesar dalam dua daripada tiga kawasannya sejak pemantauan bermula 39 tahun lalu.
Menurut AIMS, liputan karang menurun sekitar 25 peratus di bahagian utara, hampir 14 peratus di wilayah tengah dan sekitar satu pertiga di selatan kawasan yang mengalami pelunturan besar buat kali pertama.
Penyelidik program Pemantauan Jangka Panjang AIMS (LTMP), Mike Emslie berkata populasi karang kini semakin tidak stabil sejak 15 tahun lalu, dengan perubahan drastik antara rekod tertinggi dan terendah.
“Karang jenis Acropora paling terjejas kerana pertumbuhannya yang pantas namun amat terdedah kepada tekanan haba, ribut tropika dan pemangsa semula jadi seperti tapak sulaiman berduri,” katanya.
Kajian LTMP 2025 itu melibatkan 124 terumbu antara Ogos 2024 hingga Mei 2025, dan mendapati sebahagian besar terumbu hanya mencatatkan liputan karang keras antara 10 hingga 30 peratus. – Xinhua


