Terus amalkan penjarakan sosial

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Orang ramai disarankan untuk terus mengamalkan penjarakan sosial serta untuk tidak mengadakan perkumpulan ramai kerana walaupun situasi jangkitan COVID-19 di negara ini masih terkawal, adalah penting bagi kita untuk terus patuh dan sama-sama mengamalkan langkah-langkah serta arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika memberikan pandangan mengenai dengan kegiatan-kegiatan yang sering dilaksanakan semasa bulan Ramadan pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa menziarahi kubur dan mengadakan majlis-majlis merupakan salah satu tradisi di kalangan masyarakat Brunei terutama pada bulan Ramadan tetapi dengan penularan COVID-19 dan walaupun keadaan jangkitan di negara masih lagi terkawal, perkumpulan ramai masih lagi tidak dibenarkan.

Beliau menambah bahawa adalah memadai bagi kita untuk bersedekah Surah Al-Fatihah dari rumah dan jika menziarahi kubur adalah dinasihatkan bagi seorang atau dua sahaja yang pergi.

“Ini harus diambil perhatian kerana kita telah mengorbankan kira-kira tujuh minggu melaksanakan semua ini dan hanya beberapa minggu lagi sebelum kita melihat bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan terutama dari segi ekonomi dan pergerakan orang ramai,” tekannya.

Manakala itu, mengulas mengenai kemungkinan pesakit yang telah sembuh tetapi dimasukkan semula ke Pusat Pengasingan Kebangsaan setelah didapati positif semasa pemeriksaan susulan, sama ada mereka boleh dijangkiti semula virus berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham berkata bahawa virus berkenaan merupakan virus yang baharu dan ia mungkin sahaja boleh berlaku dan kerana itu juga, mereka diarahkan untuk mengasingkan diri bagi tempoh 14 hari di mana pada hari ke-11, ujian bagi mengesan virus berkenaan akan dilakukan lagi.

Berhubung dengan arahan bagi semua pelawat asing yang tiba di Negara Brunei Darussalam bermula 16 April dikehendaki untuk menanggung sendiri kos ujian makmal COVID-19 sebanyak $1,000 bagi setiap seorang, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia adalah untuk memastikan pelawat asing yang datang adalah benar-benar perlu datang ke negara ini kerana jika mereka didapati positif, mereka akan perlu dirawat dan kos rawatan berkenaan adalah bukan murah serta rawatan itu akan ditanggung oleh pihak kerajaan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media berkenaan.